Saturday, 15 March 2014

Parlimen Syria lulus undang-undang baru


Damsyik: Parlimen Syria semalam meluluskan undang-undang baru pilihan raya yang membolehkan pelbagai calon bertanding jawatan presiden.

Langkah itu dibuat beberapa bulan sebelum pilihan raya diadakan.


Bagaimanapun, undang-undang baru itu menghalang pemimpin pembangkang dalam buangan bertanding menentang Presiden Bashar al-Assad kerana mensyaratkan calon perlu tinggal di Syria selama 10 tahun berturut-turut.

Antara syarat lain, calon perlu berusia lebih 40 tahun, warga Syria dengan ibu bapa Syria, tidak pernah disabitkan kesalahan jenayah dan tidak boleh berkahwin dengan bukan warganegara.


Bagaimanapun, parlimen perlu meluluskan beberapa bahagian lain undang-undang berkenaan membabitkan pilihan raya umum dan pilihan raya majlis tempatan.


Damsyik belum lagi mengumumkan tarikh pilihan raya namun Bashir dijangka cuba dilantik selama tujuh tahun lagi pada pertengahan tahun ini walaupun negaranya berdepan konflik teruk yang mengakibatkan lebih 140,000 maut dan jutaan lain hidup sebagai pelarian.

Pilihan raya mesti diadakan antara 60 dan 90 hari sebelum penggal berakhir 17 Julai ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/15