Beirut: Seramai 63 orang awam dilaporkan terbunuh dalam serangan udara disyaki dilancarkan pesawat pejuang Russia di sebuah perkampungan yang dikuasai kumpulan Negara Islam (IS) di timur Syria.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/109885#sthash.0wmuPtoM.dpuf
Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, sembilan kanak-kanak dan dua wanita antara yang maut dalam kejadian di Khasham.
Kampung itu terletak di wilayah kaya minyak, Deir Ezzor, tempat IS berusaha mara sejak beberapa hari lalu walaupun berdepan serangan udara Russia dan tentera Syria.
Serangan sejak seminggu lalu oleh IS di ibu negeri wilayah itu mengakibatkan lebih 500 maut dan mencetuskan kebimbangan pembunuhan beramai-ramai 200,000 penduduk yang masih berada di situ.
Sementara itu, sumber tentera Syria berkata, hampir 100 ‘pakar Amerika’ dan militia Kurdis Syria hampir selesai menyiapkan lapangan terbang Rmeilan di wilayah Hasakeh.
“Pangkalan udara itu akan digunakan untuk helikopter dan pesawat kargo. Landasannya sepanjang 2,700 meter dan sedia digunakan untuk pesawat yang membawa peralatan serta kelengkapan perang lain,” kata sumber itu.
“Pasukan khas tentera Amerika Syarikat dan penasihat menggunakan lapangan terbang Rmeilan sebagai pangkalan dengan helikopter berlepas dari situ ke medan tempur,” kata sumber itu.
Pentagon bagaimanapun menafikannya dengan berkata, AS ‘belum menguasai mana-mana lapangan terbang di Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:05 AM