Foto/Reuters
BEIRUT 19 Ogos - Pihak berkuasa masyarakat Kurdis di Syria memindahkan beribu-ribu penduduk awam dari kawasan-kawasan Kurdis di bandar Hasaka di timur laut Syria pada hari kedua serangan udara dan meriam oleh tentera kerajaan, semalam.
Seorang jurucakap militia YPG Kurdis, Redur Xelil berkata, berpuluh-puluh penduduk awam terbunuh dalam tempoh 48 jam yang lalu.
Redur menyifatkan pertempuran yang sedang berlangsung antara kumpulan militia Kurdis dan tentera Syria sekarang sebagai sengit sejak lima tahun lalu.
“Hasaka sedang menyaksikan perang sebenar,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan yang dipindahkan merupakan wanita dan kanak-kanak.
“Sesiapa sahaja yang bersenjata sedang berperang dengan tentera kerajaan dan sekutunya,” katanya. - REUTERS