Wednesday, 26 October 2016

Desak Russia digugur dari Majlis Hak Asasi Manusia



SUKARELAWAN mencari mangsa di sebalik runtuhan bangunan berikutan serangan udara di Kafar Takharim, bandar yang dikuasai kumpulan penentang Bashar. Bandar berkenaan terletak di wilayah Idlib, barat laut Syria. - AFP



Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Lebih 80 organisasi hak asasi manusia dan bantuan kemanusiaan kelmarin mendesak negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggugurkan Russia dari Majlis Hak Asasi Manusia ekoran kempen ketenteraannya di Syria.

Human Rights Watch, CARE International dan Refugees International antara organisasi yang menandatangani rayuan yang dilancarkan menjelang pemilihan bagi mengisi 14 kerusi di majlis 47 negara itu pada Jumaat ini.

Russia, Hungary dan Croatia berebut dua kerusi yang mewakili kumpulan Eropah Timur di majlis itu yang bertanggungjawab memantau pencabulan hak asasi manusia di seluruh dunia.

Organisasi itu juga menggesa anggota PBB mempersoalkan secara serius adakah peranan Russia di Syria yang termasuk menyokong dan menjalankan aktiviti ketenteraan yang sering menyasarkan orang awam menjadikan Moscow sesuai menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia badan itu.

Moscow menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad dalam peperangan melawan kumpulan penentang dan militan Daish sejak September 2015.

Pada Jumaat ini, Perhimpunan Agung PBB akan mengundi untuk memilih anggota di majlis itu untuk penggal tiga tahun bermula 2017.

Selain Russia, China dan Arab Saudi antara paling dijamin memenangi kerusi kerana kumpulan rantau itu menyenaraikan empat negara untuk empat kerusi yang diperuntukkan.

Dua lagi negara adalah Iraq dan Jepun. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 10:06 AM