BEIRUT 3 April - Jumlah pelarian Syria berdaftar di Lebanon dilaporkan mencapai lebih satu juta orang, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Orang Pelarian (UNHCR) semalam.
Jelas agensi PBB itu dalam satu kenyataan, bilangan tersebut menyamai populasi penduduk Lebanon.
Menurut agensi itu lagi, kebanyakan pelarian terbabit kini hidup dalam keadaan serba daif selain terpaksa bergantung kepada bantuan kemanusiaan.
UHNCR menyatakan, pertambahan bilangan pelarian itu berlaku ekoran sumber-sumber bantuan yang semakin berkurangan.
Lebanon yang merupakan negara kecil kini menjadi negara dengan jumlah pelarian per kapita tertinggi di dunia.
Kemasukan sejuta pelarian ke dalam sesebuah negara adalah satu jumlah yang amat besar.
Bagi Lebanon, hal ini menjadi lebih rumit dengan masalah dalaman," kata Pengarah UNHCR, Antonio Guterres dalam kenyataan itu.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, perang saudara di Syria yang berlarutan selama tiga tahun itu telah menyebabkan lebih 150,000 orang terkorban, manakala separuh daripada penduduk negara itu terpaksa berpindah keluar.
Hampir 600,000 rakyat Syria didaftar sebagai pelarian di Jordan dan kira-kira 670,000 pelarian didaftar di Turki.
Guterres berkata, Lebanon mengalami masalah ekonomi yang serius disebabkan konflik yang melanda Syria, manakala kawalan keselamatan semakin teruk ekoran ketidakstabilan serantau.
Oleh itu, UNHCR mendesak komuniti dunia untuk menghulurkan bantuan kepada Lebanon.
Bantuan antarabangsa kepada institusi kerajaan dan komuniti tempatan masih tidak mencukupi untuk meringankan beban negara dan pelarian," katanya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140404/lu_01/Lebanon-dibanjiri-pelarian-Syria#ixzz2xtgGQ3Y7
© Utusan Melayu (M) Bhd