Kaherah: Negara Islam (IS) semalam mengaku bertanggungjawab menyerang sebuah pameran yang menganjurkan pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW di Dallas, Texas, dua hari lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48816#sthash.Kix613Gw.dpuf
Dalam kenyataan audio disiarkan stesen radio kumpulan pelampau itu, Al Bayan yang berpangkalan di Raqqa, Syria, IS berkata ‘dua askar kerajaan khalifah’ melaksanakan serangan itu selain berjanji akan melakukan lebih banyak serangan pada masa akan datang.
“Kami memberi amaran kepada Amerika Syarikat, apa yang bakal dilaksanakan askar kami akan lebih memeritkan,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak mendedahkan butiran lanjut dan setakat ini belum jelas sama ada kumpulan itu sekadar mengambil kesempatan mengakui bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Jika benar, ini kali pertama IS mengaku bertanggungjawab melakukan serangan di Amerika Syarikat.
Dua lelaki ditembak mati di Garland, Dallas, itu selepas melepaskan tembakan terhadap pengawal keselamatan di luar pusat pameran berkenaan.
Setakat ini masih belum jelas sama ada IS memang memainkan peranan langsung dalam kejadian itu, atau dua lelaki terbabit memilih sendiri untuk melakukannya atas dasar menunjukkan sokongan kepada kumpulan pelampau berkenaan.
Suspek dikenal pasti sebagai Elton Simpson dan Nadir Soofi.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:15 AM