Kementerian Luar Turki berkata, pihaknya mengiktiraf kebimbangan Iraq dan keperluan dalam memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS).
“Justeru, Ankara akan meneruskan pengunduran tentera dari wilayah Ninewa, di utara Iraq yang menjadi punca salah faham ini,’’ jelas kementerian itu dalam satu kenyataan.
Tentera Turki menghantar satu pasukan tentera yang berpangkalan di sebuah pangkalan tentera di Mosul, utara Iraq baru-baru ini, yang mencetuskan perbalahan antara Ankara dan Bahgdad setelah Ankara didakwa mencabul kedaulatan Iraq.
AS mahu pertikaian itu diselesaikan supaya kedua-dua negara terbabit boleh memberikan tumpuan penuh dalam memerangi IS yang menguasai sebahagian besar kawasan di Iraq dan Syria.
Kerajaan Turki pula berkata, askarnya berada di Iraq bagi membantu memberi latihan ketenteraan kepada puak Sunnah dan pasukan militia Kurdistan Peshmerga dalam memerangi militan IS.
Bagaimanapun, Iraq berkata, penghantaran askar Turki itu dilakukan tanpa kebenaran Baghdad lalu mengemukakan bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selepas Obama menghubungi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kelmarin, Ankara mengundurkan sejumlah askarnya dari Pangkalan Basheeqa, namun Iraq mendesak pengunduran sepenuhnya tentera Turki dilakukan. –DPA