BERLIN - JERMAN. Kesatuan Eropah (EU) sedang merancang pelan alternatif untuk membendung kemasukan pelarian di rantau itu jika perjanjian yang dicapai bersama Turki gagal menangani  permasalahan tersebut.
Kelmarin, akhbar Das Bild melaporkan pegawai EU kini merangka 'pelan B' yang meletakkan tanggungjawab kepada Greece untuk memberi perlindungan kepada pelarian dan pencari suaka.
Menurut laporan itu, Athens juga diberi hak untuk mengusir mana-mana pelarian secara langsung untuk pulang ke negara asal mereka atau negara ketiga yang diisytihar 'selamat'.
"Di bawah pelan alternatif itu, Greece akan mendapat peruntukan kira-kira 6 bilion euro (RM27.5 bilion) yang dicadangkan dalam perjanjian pelarian EU-Ankara sebelum ini," jelas laporan tersebut lagi.
Sementara itu, seorang ahli politik di Berlin turut mengesahkan laporan terbabit dan menyatakan ia adalah satu tindakan normal untuk mempertimbangkan pelan B.
"Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan Turki kerana pelan alternatif diperlukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan," kata ahli Parlimen, Kesatuan Demokratik Kristian Jerman, Karl-Georg Hellmann. - Press TV