Thursday, 4 August 2016

Gas toksik digugurkan di tempat helikopter Russia terhempas




GAMBAR yang dipetik dari video menunjukkan seorang lelaki di Saraqeb dibantu selepas mengalami kesukaran untuk bernafas. - Reuters

Agensi
Beirut: Sebuah helikopter semalam menggugurkan tong berisi gas beracun di bandar berhampiran tempat sebuah helikopter tentera Russia ditembak jatuh kelmarin.

Jurucakap Pertahanan Awam Syria yang melakukan usaha menyelamat di wilayah yang dikuasai penentang berkata, 33 orang, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita mengalami kesukaran untuk bernafas selepas tong gas beracun itu digugurkan di Sawaqeb di wilayah Idlib.

Kumpulan itu yang menggelar diri mereka sukarelawan mencari dan menyelamat berkecuali, memuat naik rakaman video di YouTube, menunjukkan beberapa penduduk bergelut untuk bernafas.

“Tong bersaiz sederhana berisi gas toksik digugurkan di kawasan itu. Kami belum dapat memastikan jenis gas berkenaan,” kata jurucakapnya.

Menurutnya, ini kali kedua gas toksik digugurkan di Saraqeb.

Sementara itu, kumpulan pemantau hak asasi manusia Syria berkata, bom tong digugurkan di kawasan berkenaan, menyebabkan sejumlah penduduk cedera, beberapa jam selepas sebuah helikopter tentera Russia ditembak jatuh berhampiran Saraqeb, meragut nyawa lima orang di dalamnya. - Agensi

Mangsa perang Syria juga ber'Pokemon Go'‎


3 OGOS 2016
Mangsa perang Syria juga ber'Pokemon Go'‎

Remaja bermain Pokemon Go di Syria.

DOUMA - SYRIA. Aplikasi permainan mencari raksasa Pokemon Go bagaikan berhantu apabila mangsa perang di Syria sanggup menempuh bahaya disebalik runtuhan untuk mencari Pokemon.

Laporan Dailymail mengatakan jumlah pemain Pokemon Go di Syria semakin bertambah dan masing-masing langsung tidak menghiraukan bahaya di sekeliling.

Beberapa video yang dimuatnaik ke laman sosial menunjukkan remaja Syria melalui runtuhan bangunan berdekatan Damascus semata-mata untuk bermain.

"Kadangkala susah juga mahu menangkap Pokemon kerana mereka muncul di atas bumbung bangunan yang sudah musnah," kata seorang remaja Syria.

Remaja tersebut, Omair Abdul, 21 mendakwa telah menangkap beberapa Pokemon di sekitar Damascus.

"Kami juga tidak mahu ketinggalan bermain permainan ini.

"Tetapi disebabkan terlalu banyak kemusnahan di negara kami, Pokemon Go tidak berapa popular di sini," kata Omair.

Omair juga memberitahu mereka terpaksa menggunakan 'proxy' untuk mendapatkan sambungan ke Internet.

Golongan aktivis yang menyedari perkara tersebut telah membuat salinan Pokemon dan diletakkan di sebalik runtuhan bangunan untuk menyedarkan risiko permainan berkenaan.

Militan guna senjata kimia?


04 Ogos 2016 1:05 AM




DAMSYIK 3 Ogos - Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 33 orang lagi termasuk kanak-kanak mengalami cedera parah dalam dua serangan berasingan melibatkan penggunaan senjata kimia di Syria, semalam.
Serangan pertama berlaku di Old City di wilayah Aleppo, barat daya Syria apabila kumpulan militan Takfiri menggempur sebuah kawasan penempatan menggunakan senjata artileri.
Pengarah Kesihatan Aleppo, Mohammad Hazouri berkata, kumpulan militan itu menggunakan peluru yang diisi dengan gas beracun dalam serangan terbabit.
“Lima orang disahkan terbunuh, manakala lapan orang lagi mengalami masalah ke-sukaran untuk bernafas dan dihantar ke hospital untuk dirawat,” katanya seperti dilaporkan portal PressTV.
Dalam perkembangan berasingan, portal Al Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya 33 penduduk awam termasuk 18 wanita dan 10 kanak-kanak, mengalami sesak nafas selepas helikopter-helikopter menggu­gurkan bom kimia di pekan Saraqeb di wilayah Idlib yang dikuasai kumpulan pemberontak.
Ketua Jabatan Pertahanan Awam Syria, Raed Saleh berkata, serangan itu berlaku tengah malam tadi apabila helikopter-helikopter berkenaan menggugurkan lima tong dipercayai mengandungi gas klorin dan serpihan besi di lokasi kejadian.
“Kami percaya gas itu merupakan gas klorin berdasarkan bau dan kesan kecederaan ke atas mangsa yang mengalami sesak nafas, kesan terbakar dan mata merah.
“Kesemua mangsa sedang dirawat, dua daripada mereka berada dalam keadaan kritikal,” katanya.
Saraqeb terletak kira-kira 15 kilometer dari lokasi sebuah helikopter Rusia ditembak jatuh pada Isnin lalu yang mengorbankan lima orang anak kapalnya, sekali gus menjadikan korban terbesar tentera Rusia sejak Moscow menyertai operasi ketente-raan di Syria pada Oktober lalu.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan terbabit, dan kumpulan hak asasi Syria percaya serangan di Saraqeb didalangi tentera Rusia yang mahu membalas dendam selepas helikopter mereka ditembak jatuh Isnin lalu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/militan-guna-senjata-kimia-1.366316#sthash.wAPmXCHZ.dpuf