Situasi meruncing itu, sekali gus menyukarkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada pelarian ketika agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan keadaan yang berlaku di kem Yarmuk yang terletak di Damsyik itu sebagai ‘memalukan’.
Menurut laporan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, kumpulan militan IS dan kumpulan sayap al-Qaeda, Barisan Al-Nusra menguasai hampir keseluruhan kawasan kem pelarian yang dihuni kira-kira 18,000 orang.
Pengarah pertubuhan itu, Rami Abdel Rahman berkata, situasi di kem Yarmuk semakin rumit kerana terdapat tiga pihak yang bertelagah iaitu tentera kerajaan, Barisan Al-Nusra dan kumpulan militan IS.
“Pejuang Al-Nusra yang me­merangi kerajaan Syria tidak berjuang bersama militan IS, tetapi pada masa yang sama tidak menghalang kemaraan kumpulan militan IS,” katanya.
Sementara itu, ahli jawatan kuasa kerajaan sementara kumpulan pembangkang Syria, Ayman Abu Hashem menyuarakan kebimbangan tentang tindakan kumpulan militan IS membalas dendam terhadap kumpulan pejuang Palestin yang menentang kemaraan mereka, baru-baru ini.
Jelasnya, kumpulan bersenjata Palestin, Aknaf Beif al-Maqdis yang setia kepada pergerakan Hamas di Gaza, telah dikepung oleh militan IS dan kumpulan penentang kerajaan.
“Kem Yarmuk dikepung oleh tentera kerajaan, manakala dari dalamnya, hampir keseluruhan kawasan kem itu dikuasai militan IS,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pegawai kerajaan Palestin mendakwa Barisan Al-Nusra membantu kemaraan militan IS di Yarmuk, meski pun kedua-dua kumpulan itu saling bermusuhan, tetapi berkongsi ideo­logi yang hampir sama.
Setakat ini, seramai 18 orang disahkan terbunuh iaitu enam orang awam dan 12 pejuang Palestin sejak pertempuran meletus di kem itu pada Rabu lalu. – AFP