Monday, 16 November 2015

Perancis bertindak balas, lancar serangan terhadap kubu IS di Syria

Perancis bertindak balas, lancar serangan terhadap kubu IS di Syria
Serangan terancang kumpulan militan di Paris mengorbankan 129 nyawa. - Gambar fail
PARIS: Pesawat pejuang Perancis mengebom kubu kuat kumpulan militan IS di Syria pada Ahad sebagai tindak balas selepas serangan terancang kumpulan itu mengorbankan 129 nyawa di Paris.

Perancis menghantar pesawat pejuangnya yang menggugurkan lebih 20 bom di kubu kuat IS di Raqa, sekali gus mengisyaratkan tekad kerajaannya menentang kumpulan itu.

Kementerian Pertahanan Perancis memaklumkan, serangan itu memusnahkan pusat kawalan IS, pusat pengambilan ahli baru, depot senjata serta kem latihan 'pengganas'.

Dalam pada itu, polis Perancis turut mendedahkan foto seorang suspek 'berbahaya' yang dikehendaki berhubung serangan di Paris itu.

Suspek berusia 26 tahun, Salah Abdeslam yang dikatakan salah seorang daripada tiga beradik yang dikaitkan dengan serangan itu, turut dikehendaki di Belgium yang mengeluarkan waran tahanan antarabangsa terhadapnya.

Dipercayai bahawa sama ada lelaki itu sedang menyembunyikan diri atau merupakan salah seorang daripada penyerang yang maut ketika serangan itu, kata sumber keselamatan.
Suspek itu tinggal di kawasan kejiranan miskin dengan majoritinya imigran di Molenbeek, Brussels yang mana polis sudah membuat beberapa penahanan berkaitan serangan di Paris.

Harga derita

Irbid (Jordan): “Tentera Bashar bertindak kejam dengan mengebom bangunan sekolah, masjid, padang permainan dan kediaman tanpa mempedulikan nasib penduduk terutama kanak-kanak yang berada di kawasan terbabit,” kata pelarian Syria, Jasim Muhammad, 45, yang menyaksikan sendiri kejadian itu di depan matanya.
Menurutnya, kediamannya di Halab, Syria musnah terkena bom menyebabkan dia melarikan diri ke negara ini pada 2012 untuk mendapatkan perlindungan.
“Kebanyakan mereka yang terkena bom terkorban dalam kejadian itu dan mayat bergelimpangan.
“Malah, beberapa saudara saya terbunuh akibat serangan itu menyebabkan saya nekad datang ke sini dan sebaik berpindah saya mendapat berita kediaman saya juga musnah terkena bom,” katanya.
Jasim berkata, tentera Bashar tidak berperikemanusiaan apabila sanggup membunuh orang ramai termasuk kanak-kanak.
“Kanak-kanak bermain di taman permainan menjadi mangsa apabila mereka datang dan terus mengebom kawasan itu.
“Saya tidak dapat menggambarkan kekejaman mereka tergamak membunuh manusia sesuka hati,” katanya.
Katanya, selepas berpindah ke sini, hidupnya aman dan walaupun hidup susah, namun nyawanya terselamat serta tidak menjadi korban.
“Syukur ramai pihak membantu kami di sini dan saya berharap suatu hari nanti Syria akan kembali aman dan dapat pulang semula ke sana,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:08 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93323#sthash.90xKyDkF.dpuf

Turki, Filipina 
tingkat keselamatan

Members of the Philippine National Police Special Action Force

Anggota Pasukan Tindakan Khas Polis Kebangsaan Filipina semalam melaksanakan latihan keselamatan di Manila, menjelang APEC yang akan berlangsung di Filipina minggu depan. – AGENSI
PARIS 14 Nov. – Serangan berdarah di Perancis yang meragut lebih 153 nyawa semalam membuatkan beberapa negara meningkatkan langkah keselamatan berikutan kebimbangan berhubung an­caman pengganas yang mungkin berlaku.
Kebimbangan jelas dirasai Turki dan Filipina yang masing-masing bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin G20 bermula esok dan Ahad serta Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 18 dan 19 November.
Turki meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar kawasan peranginan di bandar Antalya yang menjadi lokasi persidang­an itu dan dijangka menarik kira-kira 13,000 orang pengunjung.
“Kami telah melakukan pemeriksaan dan persediaan telah siap. Turki dan Antalya sedia untuk persidangan itu,’’ kata Menteri Dalam Negeri Turki, Selami Altinok.
Polis Filipina pada masa sama bersedia meningkatkan kesela­matan menjelang persidangan yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Semua anggota keselamatan di 7,100 pulau di negara itu sudah bersedia dengan sebanyak 20 pemimpin dijadual menghadiri perhimpunan tersebut.
“Kami dalam status bersiap sedia penuh di seluruh negara kerana APEC dan sebagai sebahagian daripada rutin selepas insiden yang berlaku di Paris,’’ kata jurucakap Ketua Polis Filipina, Wilben Mayor.
Singapura juga tidak ketinggalan meningkatkan tahap berwas­pada dan langkah keselamatan serta pemeriksaan sempadan ekoran serangan di Paris itu.
Menteri Dalam Negeri, K. Shanmugam berkata, serangan itu menunjukkan tidak ada satu negara pun kebal meskipun me­ngenakan kawalan keselamatan yang ketat.
Sementara itu di India, polis turut memantapkan kawalan ke­selamatan di bandar Maharashtra, barat India termasuk Mumbai yang sering dijadikan lokasi se­rangan pengganas.
“Semua unit polis diminta untuk menyemak dan mengkaji langkah kawalan di lokasi yang menjadi tumpuan ramai,’’ kata Ketua Polis Maharashtra, Praveen Dixit. – REUTERS/AFP/ BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/turki-filipina-8232-tingkat-keselamatan-1.158350#sthash.rxgluxML.dpuf

Pengawal selamatkan ribuan nyawa


PARIS 15 Nov. – Seorang pengawal keselamatan beragama Islam di sebuah stadium di sini dianggap sebagai wira oleh media tempatan di Perancis apabila dia berjaya menyelamatkan ribuan nyawa tidak berdosa dalam serangan keganasan yang menggemparkan enam lokasi di Paris semalam.
Portal berita says.com melaporkan, jika tidak disebabkan tindakan awal pengawal yang dikenali sebagai Zouheir tersebut, kemungkinan jumlah mangsa yang terkorban dalam serangan terancang itu melebihi ribuan orang.
Zouheir mengesan penyerang berkenaan yang memiliki tiket untuk masuk ke stadium yang memuatkan 80,000 orang, ketika memeriksa badannya, lapor The Wall Street Journal.
Pengawal keselamatan tiu berkata, dia meletup dirinya ketika cuba melepaskan diri.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pengawal-selamatkan-ribuan-nyawa-1.158742#sthash.FVdlMhSO.dpuf

10 terbunuh kereta api tergelincir di Perancis

Pasukan penyelamat tiba ke kawasan kereta api laju TGV yang tergelincir

Pasukan penyelamat tiba ke kawasan kereta api laju TGV yang tergelincir berhampiran sebatang terusan di Eckwersheim, berhampiran Strasbourg, timur laut Perancis, kelmarin. AFP
ECKWERSHEIM, Perancis 15 Nov. - Sebanyak 10 orang terkorban dan lima lagi dipercayai hilang selepas sebuah kereta api berkelajuan tinggi TGV tergelincir semasa menjalani ujian pemanduan di Strasbourg, timur laut negara ini, semalam.
Menurut Menteri Pembangunan Alam Sekitar Perancis, Segolene Royal, mangsa merupakan anggota kumpulan juruteknik yang terdiri daripada 49 orang yang berada di dalam kereta api tersebut, manakala 37 yang lain cedera termasuk 12 berada dalam keadaan kritikal.
“Seramai lima orang dilaporkan hilang dengan beberapa yang lain masih terperangkap di bawah gerabak yang berlaku di bawah jamba­tan dan sebatang terusan,” ujarnya.
Kereta api itu bergerak pada kelajuan 350 kilometer sejam ketika menjalani ujian pemanduan untuk perkhidmatan kereta api lain sempena musim bunga tahun depan.
Pasukan mencari dan penyelamat dengan bantuan seekor anjing pengesan akan terus menjalankan kerja-kerja mencari.
Sementara itu, menurut pegawai kanan di wilayah Alsace, Dominique-Nicolas Jane, kemalangan itu berlaku kerana kelajuan yang melampau.
Bagaimanapun pasukan polis berkata, punca utama nahas masih belum dikenal pasti.
Tragedi tersebut merupakan yang pertama sejak kereta api laju TGV memulakan perkhidmatan sejak 1981. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/10-terbunuh-kereta-api-tergelincir-di-perancis-1.158702#sthash.q8lnYdnc.dpuf

Penyerang Paris dikenal pasti


Penemuan berdasarkan jari terputus di lokasi pertama serangan di Paris

Polis memeriksa seorang lelaki berdekatan dewan konsert Bataclan di Paris selepas serangan berani mati, kelmarin. REUTERS
PARIS 15 Nov. - Pihak polis Perancis mengenal pasti penyerang pertama beberapa siri serangan di Paris, semalam yang menyaksikan 153 orang maut, sebagai seorang rakyat tempatan selepas penemuan jari yang terputus di dewan konsert Bataclan.
Suspek dikenal pasti sebagai Omar Ismail Mostefai, 29, yang didakwa mempunyai hubungan de­ngan kumpulan bersenjata tetapi tidak pernah dikaitkan dengan sebarang tindakan keganasan.
Dalam serangan berdarah di dewan konsert itu, Omar melepaskan tembakan rambang mengakibatkan 82 orang maut sebelum dia ditembak mati oleh pihak keselamatan Perancis.
Menurut laporan portal Al Jazeera, polis mempunyai rekod yang menunjukkan penglibatan Omar dalam kegiatan kumpulan bersenjata.
Sebelum itu, polis menahan enam orang termasuk bapa dan abang penyerang di rumah masing-masing di pekan Romilly-sur-Seine, timur Paris dan wilayah Essone, selatan Paris bagi membantu siasatan.
Jelas laporan tersebut, pihak berkuasa Perancis percaya sera­ngan di Paris dirancang di luar negara oleh militan IS di Iraq dan identiti penyerang lain masih lagi disiasat.
“Pasukan penyiasat di Perancis, Belgium, Greece dan Jerman turut bekerjasama untuk mengenalpasti identiti tujuh lagi penyerang dan kemungkinan suspek lain yang terlibat.
“Kesemua penyerang bergerak dalam tiga pasukan untuk melancarkan serangan terancang di ibu negara ini, semalam yang menyaksikan 153 orang terbunuh dan kira-kira 200 lagi cedera,” tambah laporan berkenaan.
Di Belgium, beberapa suspek ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan berdarah di Paris susulan penemuan sebuah kereta jenis Volkswagen Polo berdekatan satu daripada lokasi kejadian.
Polis percaya kereta yang disewa di Belgium itu mempunyai kaitan dengan serangan selepas beberapa saksi mendakwa penyerang tiba di lokasi kejadian menaiki kereta yang menggunakan nombor pendaftaran negara tersebut.
Dalam perkembangan sama, pi­hak berkuasa Jerman menyiasat kemungkinan penahanan seorang lelaki dari Montenegro pada 5 November lalu mempunyai kaitan dengan serangan di Perancis selepas polis menemukan sejumlah bahan letupan, senapang dan pistol dalam kenderaan yang dipandunya.
Lelaki berusia 51 tahun itu dipercayai menuju ke Paris berdasarkan alamat yang tertera pada sistem pemanduan yang terdapat dalam kenderaannya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penyerang-paris-dikenal-pasti-1.158700#sthash.cVG1GCD7.dpuf

Jangan salahkan umat Islam


Kenyataan terbuka yang disiarkan oleh penduduk Cardiff, Leigh Matthews melalui akaun Facebook miliknya, mendapat perhatian dan pujian orang ramai. AGENSI
LONDON 15 Nov. – Tindakan berani seorang penduduk Britain mempertahankan umat Islam daripada dikaitkan dengan tragedi berdarah di Paris, menerusi satu ke­nyataan terbuka mendapat perhatian dan pujian orang ramai.
Menurut laporan portal Mirror, Leigh Matthews berasal dari Cardiff, mengeluarkan kenyataan terbuka dalam laman sosial Facebook dengan menggesa orang ramai agar tidak menyalahkan umat Islam susulan insiden serangan pengganas di Perancis.
Dalam kenyataannya itu, Matthews berkata, pihak yang terlibat dalam serangan di Paris bukan orang Islam tetapi kumpulan pelampau yang menggunakan agama sebagai alasan untuk menghalalkan tindakan pengecut mereka.
“Seluruh dunia perlu bersatu sebagai satu keluarga.
“Kejadian yang berlaku semalam sepatutnya merapatkan jurang antara kita,” katanya.
Kenyataan Matthews itu di­kongsi oleh pengguna Facebook lebih 25,000 kali dan angka tersebut terus meningkat.
Malah keberanian dia mempertahankan Islam mendapat pu­jian pengguna lain seperti Han O’Connor yang bersetuju dengan pendapat Matthews.
“Sentimen yang sangat indah dan baik diluahkan oleh Leigh,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jangan-salahkan-umat-islam-1.158704#sthash.i2zCGprw.dpuf

Pengebom menyamar pelarian Syria untuk masuk Paris


PARIS 15 Nov. – Dua pengebom berani mati yang merupakan antara tujuh individu yang bertanggungjawab dalam beberapa siri serangan keganasan di enam lokasi di Paris semalam dipercayai menyamar sebagai pelarian Syria untuk mema­suki Perancis.
Portal berita Mail Online me­laporkan, pihak polis berkata, ke­dua-dua pengebom berani mati itu didakwa tiba di Greece pada akhir bulan lalu.
Seorang daripada penyerang itu didedahkan media Perancis sebagai Omar Ismail Mostefai, 29, yang merupakan seorang warga Perancis, berasal dari Courcouronnes, di Essonne, Perancis.
Media Serbia semalam melaporkan bahawa seorang lagi anggota pengganas itu dikenali sebagai Ahmed Almuhamed.
Akhbar itu, Blic berkata, Ahmed, 25, tiba di Eropah dari pulau Leros, Greece pada 3 Oktober dalam perjalanan ke Paris.
Pada 7 Oktober, dia memasuki Serbia di Miratovce, selepas melalui sempadan Macedonia dan akhbar itu melaporkan bahawa Ahmed memohon suaka politik daripada Serbia di Presevo sebelum ke Croatia dan Austria.
Pendakwa raya Paris mengesahkan rekod cap jari menunjukkan bahawa dua suspek itu tiba di Eropah sebagai pelarian melalui Greece.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pengebom-menyamar-pelarian-syria-untuk-masuk-paris-1.158707#sthash.Op5ccUMJ.dpuf

Rakyat Syria, Palestin suspek serangan bom Beirut

Pekerja membersihkan serpihan daripada serangan pengebom berani

Pekerja membersihkan serpihan daripada serangan pengebom berani mati di kawasan Burj al-barajneh di selatan Beirut, kelmarin. AFP
BEIRUT 15 Nov. – Pihak berkuasa Lebanon menahan lima rakyat Syria dan seorang rakyat Palestin dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan pengeboman berani mati di tengah bandar Beirut kelmarin yang mengorbankan 43 orang.
Kumpulan militan Negara Islam (IS) mendakwa mendalangi serangan pengeboman berani mati yang berlaku di pusat komersial dan kediaman itu merupakan kubu kuat pergerakan Hezbollah.
“Dalam tempoh 24 jam, pasukan polis berjaya menahan individu yang terlibat,” ujar sumber berkenaan.
Letupan tersebut merupakan serangan pertama dalam tempoh le­bih setahun yang menyasarkan ke arah kubu kuat Hezbollah di Lebanon.
Sementara itu. IS dalam satu kenyataan yang dimuat naik seorang penyokongnya di Internet menyatakan, seorang anggotanya bertindak meletupkan basikal yang dimuatkan dengan bahan letupan di satu kawasan awam di Borj al-Barajneh dalam kejadian tersebut.
Kenyataan itu berkata, ketika orang ramai berkumpul untuk melihat letupan tersebut, pengebom berani mati meletupkan dirinya sehingga mengorbankan lebih 40 orang.
Hezbollah menghantar beratus-ratus anggota bagi memberi sokongan kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Tentera kerajaan yang disokong oleh Hezbullah dan tentera Iran telah meningkatkan serangan menentang kumpulan pemberontak yang kebanyakannya pengikut Sunah termasuk IS sejak Rusia melancarkan serangan udara pada 30 September lalu. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rakyat-syria-palestin-suspek-serangan-bom-beirut-1.158706#sthash.KXudZThI.dpuf