Sunday, 9 October 2016

Pengeboman Aleppo satu jenayah perang - AS




SEORANG wanita merawat seorang kanak-kanak yang cedera teruk di hospital al-Jamiliyeh selepas kawasan kejiranan mereka di utara bandar Aleppo dibom tentera Syria kelmarin. - AFP


WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) kelmarin mendakwa bahawa tindakan pengeboman ke atas orang awam di Aleppo merupakan satu jenayah perang dan negara polis dunia itu bersedia membawa perkara tersebut kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Setiausaha Negara AS, John Kerry yang jelas menunjukkan kemarahannya terhadap rejim Syria yang disokong Rusia berkata: “Ini perbuatan yang perlukan siasatan penuh jenayah perang.”
Perancis pula menyatakan kesedia­an memanggil supaya diadakan undian Majlis Keselamatan PBB bagi memaksa tindakan pengeboman udara ke atas Aleppo oleh Rusia dan Syria dihentikan.
Rusia bagaimana dalam reaksi balas mencadangkan diusahakan draf resolusi gencatan senjata dan me­minta akses untuk bantuan kemanusiaan ke Aleppo.
Tentera Presiden Bashar al-Assad melancarkan serangan ke atas timur Aleppo iaitu kawasan yang didiami suku juta orang awam dua minggu lalu selepas gagalnya usaha gencatan senjata yang dianjurkan oleh AS-Rusia.
Ketika bertemu Menteri Luar Pe­rancis, Jean-Marc Ayrault di Washington, Kerry berkata, jet pejuang al-Assad dan Rusia telah berulang kali melancarkan serangan ke atas hospital.
“Mereka yang melakukan ini seharusnya bertanggungjawab atas tindakan mereka.
“Ini adalah satu strategi keganasan yang disasarkan kepada orang awam, untuk membunuh sesiapa sahaja dan semua orang yang menghalang objektif ketenteraan mereka,” katanya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4MXZT2emx 
Hakcipta terpelihara