Thursday, 3 December 2015

4,000 protes Britain bom Syria


AFP - SEORANG lelaki memegang pelekat bertulis “Jangan Serang Syria” ketika tunjuk perasaan terhadap tindakan ketenteraan Britain terhadap Syria di luar Dewan Parlimen di London kelmarin.


LONDON – Beribu-ribu penunjuk perasaan antiperang berhimpun di pusat bandar London kelmarin untuk menghalang Britain daripada menyertai serangan udara terhadap kumpulan militan Islamic State (IS) di Syria.
Protes tersebut diadakan sehari sebelum Parlimen Britain mengundi untuk meluluskan langkah itu.
Sekumpulan 4,000 orang berarak dari Dewan Parlimen di Westminster ke ibu pejabat parti pemerintah, Parti Konservatif dan juga pejabat parti pembangkang utama, Parti Buruh yang terletak berhampiran.
“Kami berhimpun untuk menyampaikan pesanan ringkas, Jangan bom Syria! Jangan lakukan apa yang kamu (kerajaan Britain) lakukan pada 2001, 2003 dan 2011.
“Jangan pergi mengebom sebuah negara yang mana tindakan itu akan memburukkan lagi peperangan di sana,” kata pemimpin aktivis Pakatan Hentikan Pe­perangan, Lindsey German, merujuk kepada pengli­batan Britain dalam pepe­rangan di Afghanistan, Iraq dan Libya.
Parlimen Britain dilihat cenderung mengundi untuk menyertai kempen pengeboman terhadap IS di Syria semalam.
Jika usul tersebut diluluskan, jet-jet pejuang Bri­tish akan menyertai sera­ngan udara di Syria dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Terdahulu, Perdana Menteri Britain, David Cameron menegaskan tindakan ketenteraan diperlukan bagi membendung keganasan seperti serangan yang meragut nyawa 130 orang di Paris pada bulan lalu.
Namun, ramai ahli politik mempersoalkan langkah tersebut yang dianggap tidak efektif tanpa serangan darat di samping tindakan itu juga dianggap boleh menghalang penyelesaian diplomatik berhubung krisis di Syria. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3tDZCnIE8 
Hakcipta terpelihara 

Ribuan penduduk Britain bantah kerajaan bom Syria


Kumpulan penunjuk perasaan itu berarak dari bangunan Parlimen di Westminster sehingga ke ibu pejabat Parti Konservatif yang memerintah dan Parti Buruh.
“Kami di sini untuk menyatakan satu perkara mudah supaya kerajaan tidak mengebom Syria. Jangan buat apa yang anda lakukan pada tahun 2001, 2003, dan 2011,” kata peserta bantahan, Lindsey Jerman yang merujuk kepada penglibatan Britain dalam peperangan di Afghanistan, Iraq, dan Libya.
Seorang lagi penunjuk perasaan, Jenny Eyeles, 65, turut menzahirkan rasa simpatinya kepada rakyat Syria yang menjadi mangsa dalam serangan tersebut.
“Pengeboman akan membunuh rakyat Syria. Satu-satunya cara untuk menghentikan kumpulan militan IS adalah dengan menyekat pembiayaan dan bantuan senjata kepada mereka. Hati saya menangis untuk rakyat Syria,” kata Eyeles.
Penunjuk perasaan mula membanjiri jalan-jalan di sekitar bandar raya London sejak beberapa hari lalu dengan melaungkan slogan ‘Jangan bom Syria’ serta membawa sepanduk bersama mesej ‘Hentikan ketakutan, kebencian, dan perang.’
Perdana Menteri Britain, David Cameron dijangka tidak mendapat tentangan menerima kelulusan Parlimen untuk melancarkan serangan terhadap kedudukan militan IS di Syria.
Ahli-ahli Parlimen negara ini mengadakan satu perbahasan panjang di Dewan Rakyat hari ini sama ada mahu menyertai Perancis, Rusia, dan Amerika Syarikat mengebom Syria, dan undian dijangka dilakukan pada pukul 10 malam waktu tempatan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ribuan-penduduk-britain-bantah-kerajaan-bom-syria-1.164862#sthash.mwjWXrsl.dpuf

Perancis tutup tiga buah masjid


  4  0 Google +0
Bernard Cazeneuve
Bernard Cazeneuve
PARIS 2 Dis. – Polis menutup sebuah masjid di timur Paris dan menahan seorang pemilik sepucuk pistol dalam serbuan berkaitan keganasan susulan serangan berdarah pada 13 November lalu di bandar raya ini.
Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve berkata, masjid di Lagny-sur-Marne itu ditutup hari ini selepas polis menjumpai dokumen dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas.
Jelas beliau, pemilik sepucuk pistol turut ditahan menjadikan jumlah keseluruhan individu dikenakan tahanan rumah setakat ini kepada sembilan orang, manakala sebanyak 22 yang lain dilarang meninggalkan negara ini.
Bercakap kepada pemberita di sini, Cazeneuve berkata, pihak berkuasa minggu lalu menutup dua buah masjid, masing-masing di Gennevilliers, barat laut Paris dan Lyon di tenggara ibu negara Perancis, tindakan pertama seumpama­nya diambil untuk menutup rumah ibadat.
Tambah beliau, sepanjang serbuan berkaitan keganasan dilaksa­nakan sejak 13 November lalu, polis telah memeriksa 2,235 rumah serta bangunan, menahan 232 orang, dan merampas 334 senjata dengan 34 daripadanya digunakan dalam pe­perangan.
“Dalam tempoh 15 hari ini, kami telah menyita satu pertiga senjata digunakan dalam peperangan, yang biasanya hanya boleh disita dalam tempoh setahun,” katanya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/perancis-tutup-tiga-buah-masjid-1.164963#sthash.MgHMUeIM.dpuf