Tuesday 22 December 2015

Lebih 70 maut di Syria


Lebih 70 maut di Syria

22 DISEMBER 2015 DAMSYIK - SYRIA.  Sekurang-kurang 73 orang awam terbunuh kelmarin, dalam serangan udara didakwa dilakukan Rusia di sebuah pasar sesak di timur Syria.
Serangan disasarkan di kawasan yang dikuasai pemberontak di wilayah Idlib lapor BBC.
Jurucakap penyelamat mengesahkan 43 orang terkorban, tetapi sekurang-kurangnya 30 mayat lagi berada di bawah sisa runtuhan bangunan dan masih belum dikenal pasti.
Serangan itu turut menyebabkan lebih 150 yang lain cedera dan beberapa mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke sebuah hospital di Turki.
"Terdapat banyak jasad di bawah sisa runtuhan," kata Yasser Hammo, seorang pekerja pertahanan awam.
Sementara itu, rakaman di media sosial dan stesen TV Orient menunjukkan situasi cemas dan kelam-kabut di lokasi serangan dengan kenderaan ambulans berulang-alik membawa mangsa yang cedera.
Orang-ramai turut kelihatan membantu mencari mangsa yang tertimbus di bawah sisa runtuhan bangunan.
Tentera udara Rusia melancarkan serangan udara sebagai sokongan kepada pentadbiran Presiden, Bashar al-Assad sejak 30 September lalu, namun Moscow menyatakan bedilan dilakukan bagi memerangi kumpulan militan IS.

Jumlah pelarian cecah sejuta orang

Jumlah pelarian cecah sejuta orang

22 DISEMBER 2015

 Pelarian Syria berkampung di stesen bas Istanbul, Turki pada September lalu sebelum meneruskan perjalanan ke sempadan Greece. Foto: AFP


GENEVA - SWITZERLAND. Jumlah pelarian yang tiba di Eropah tahun ini dilaporkan semakin meningkat walaupun beberapa negara bertindak menutup pintu sempadan mereka.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), jumlah pelarian dianggarkan mencecah sejuta orang menjelang akhir Disember ini.
Kebanyakan pelarian adalah penduduk yang melarikan diri daripada konflik perang, penganiayaan dan kemiskinan lapor  CNN.
Pada November lalu, Turki dan Kesatuan Eropah (EU) mencapai kata sepakat untuk menangani krisis kebanjiran pelarian ke benua Eropah apabila Ankara bersetuju membantu mengawal kemasukan pelarian sebagai balasan terhadap bantuan kewangan dan visa daripada blok itu.
Antara perkara penting yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan, EU sedia menyalurkan bantuan sebanyak tiga bilion euro (RM13.5 bilion) bagi menaiktaraf kehidupan kira-kira 2.2 juta pelarian Syria di Turki supaya menggalakkan lebih ramai pelarian tidak berhijrah ke Eropah.