Tuesday 29 November 2016

Tentera Syria kuasai semula enam daerah di Aleppo






AP - BEBERAPA penduduk dari kejiranan bandar Aleppo melarikan diri ke Sheikh Maqsoud kelmarin.

ALEPPO, Syria – Tentera kerajaan berjaya menawan semula enam daerah di timur Aleppo yang dikuasai oleh pemberontak sejak serangan besar-besaran hujung minggu lalu.

Serentak itu, hampir 10,000 orang awam terpaksa melarikan diri sebagai langkah ke­selamatan apabila pihak tentera meningkatkan serangan untuk menawan semula keseluruhan bandar kedua terbesar di Syria itu.

Tentera rejim pada Selasa lalu telah menawan semula wilayah Masaken Hanano yang merupakan daerah di timur bandar Aleppo yang terbesar dikuasai pemberontak.

Pada Ahad lalu yang merupakan hari ke-13 operasi, tentera kerajaan turut berjaya merampas semula kawasan kejiranan Jabal Badra, Badeen, Inzarat, Al-Sakan al-Shaabi dan Ain al-Tall.

Kenam-enam daerah itu itu telah kembali ke tangan tentera rejim dan pasukan tentera kerajaan turut berjaya merampas semula sebahagian besar kawasan Sakhur dan Haidariya, kata Badan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia.

“Pemberontak telah kehilangan sekurang-kurangnya 30 peratus wilayah yang dikuasai mereka di bandar Aleppo,” kata ketua badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman.

Masaken Hanano merupakan daerah pertama ditawan pemberontak pada musim panas tahun 2012 dalam satu langkah yang memisahkan bandar itu kepada timur yang dikuasai pemberontak dan rejim pula menguasai bahagian barat.

Malah, agensi berkenaan berkata, hampir 10,000 orang awam telah melarikan diri ke timur bandar Aleppo pada malam Sabtu lalu.

Sekurang-kurangnya 6,000 orang awam ke daerah Sheikh Maksoud yang dikuasai oleh puak Kurdish, manakala selebihnya melarikan diri ke kawasan yang dikuasai kerajaan.

“Ini adalah penghijrahan pertama daripada timur Aleppo sejak tahun 2012,” kata Abdel Rahman. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4ROCZbjFE
Hakcipta terpelihara 

Kejatuhan Aleppo bukan penamat tentangan terhadap Bashar

SELASA, 29 NOVEMBER 2016 @ 1:40 PM

ALEPPO: Kejatuhan kuasa pemberontak di timur Aleppo bukan bermakna berakhirnya perjuangan menentang Presiden Bashar al-Assad, kata perunding kanan pembangkang Syria kepada BBC. George Sabra berkata, perkembangan itu akan menyukarkan lagi harapan ke arah termeterainya sebarang perjanjian damai. Tentera Syria yang disokong serangan udara bertubi-tubi berjaya menawan semula lebih daripada satu pertiga wilayah yang dikuasai pemberontak di bandar itu. Ini menyebabkan puak pemberontak terpaksa berundur ke lokasi di barisan hadapan yang masih boleh dipertahankan. Sementara itu, beribu-ribu orang awam melarikan diri dari daerah Aleppo yang terkepung selepas pertempuran sengit pada hujung minggu. Sabra yang juga ketua perunding bagi Jawatankuasa Rundingan Tinggi (HNC), memberitahu BBC World Service kehilangan Aleppo tidak akan mengakhiri revolusi. "Aleppo adalah lokasi revolusi yang cukup penting tetapi ia bukanlah kawasan yang terakhir. Ketika ini, kami mempunyai banyak kawasan yang berada di bawah kuasa Tentera Pembebasan Syria," katanya. Beliau turut memberi amaran bahawa kempen ketenteraan yang dilancarkan kerajaan Syria dan sekutu-sekutunya secara tidak langsung membunuh sebahagian daripada proses politik. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/217993

Bimbang keselamatan, 10,000 pindah dari Aleppo


29 November 2016 12:21 AM
Penduduk Syria yang melarikan diri tiba di sebuah kem pelarian


Penduduk Syria yang melarikan diri tiba di sebuah kem pelarian di daerah Jibreen, Aleppo, kelmarin. AFP
ALEPPO 28 Nov. – Tentera Syria berjaya menawan tiga kawasan yang dikuasai pemberontak di bandar ini, memaksa hampir 10,000 penduduk awam me­larikan kerana bimbangkan ke­selamatan masing-masing.

Pengarah Badan Pemantau Pertubuhan Hak Asasi Manusia ke Syria, Rami Abdel Rahman berkata, penduduk awam mula melarikan diri ke timur Aleppo kelmarin dengan 6,000 orang telah berpindah ke daerah Sheikh Maksoud yang dikuasai kumpulan Kurdis manakala selebihnya melarikan diri ke kawasan-kawasan ditakluk kerajaan kelmarin.

“Situasi itu merupakan perpindahan beramai-ramai terbesar dari timur Aleppo sejak 2012,” kata Rami.

Dalam pada itu, beberapa rakaman imej yang disiarkan oleh stesen penyiar tempatan menunjukkan keadaan penduduk awam termasuklah wanita dan kanak-kanak berkumpul untuk menaiki bas di Masaken Hanano bagi membawa mereka ke tempat lebih selamat.

Seorang wanita dilihat menolak kereta sorong bayi manakala ada juga menjunjung beg plastik di atas kepala mereka ketika pengeboman terus kedengaran.

Media tempatan melapor­kan, semua mereka dibawa oleh tentera ke tempat perlin­dungan.

Setakat ini, tentera kerajaan telah berjaya menguasai kembali enam daerah di timur Aleppo termasuk Masaken Hanano, bandar terbesar yang di sini.

Menurut badan pemantau, operasi menawan semula Aleppo yang telah memasuki hari ke-13 menyaksikan tentera berjaya menguasai kawasan penempatan di Jabal Badra, Baadeen, Inzarat, Al-Sakan al-Shaabi dan Ain al-Tall.

Tentera kini mara ke Sakhur dan Haidariya.

“Tentera kini menguasai hampir keseluruhan bahagian utara Aleppo sementara pemberontak pula kehilangan 30 peratus kawasan yang pernah dikuasai,” kata Rami. – AFP