Thursday 14 August 2014

Militan tawan bandar penting


Beirut: Kumpulan ekstrem Islam menawan dua bandar penting dan beberapa perkampungan berhampiran sempadan Syria-Turki semalam selepas mengusir kumpulan saingan mereka dalam pertempuran sengit, kata aktivis.

Pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, sekurang-kurangnya 31 anggota kumpulan bersenjata dan lapan ahli Negara Islam terbunuh dalam pertempuran itu.

Pegawainya berkata, perang berakhir selepas kumpulan militan terbabit mengawal enam perkampungan di wilayah Aleppo.

Penguasaan bandar itu pula kejayaan terbaru untuk militan Negara Islam yang menampilkan kerajaan sendiri di timur dan utara Syria serta barat Iraq.

Kata aktivis, militan Negara Islam menguasai bandar Akhtarin dan Turkmanbareh selepas bertempur dengan pejuang antikerajaan yang cuba menggulingkan Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Kata aktivis, militan Negara Islam juga menguasai sejumlah kampung berhampiran, termasuk Masoudiyeh, Dabiq dan Ghouz.

Komander pejuang antikerajaan, Abu Thabet berkata, penawanan Akhtarin adalah strategik kerana ia dianggap pintu kepada kawasan pinggir Aleppo.

“Nampaknya matlamat sebenar Negara Islam adalah menguasai bandar Marea yang terletak beberapa kilometer ke barat kawasan kubu kuat mereka serta Azaz, bandar bersebelahan Bab al-Salama yang bersempadan dengan Syria,” katanya.

Abu Thabet berkata, Negara Islam melancarkan serangan besar-besaran ke atas Akhtarin kelmarin dan pertempuran berpanjangan semalaman.- AP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14