Monday, 9 May 2016

Banduan penjara Syria tamatkan pemberontakan

ISNIN, 9 MEI 2016 @ 10:09 AM

Imej yang diambil daripada video dimuat naik di laman web media sosial memaparkan pasukan keselamatan berjalan di luar penjara Hama, Syria, selepas pemberontakan oleh penghuni penjara. - Foto REUTERS
AMMAN: Perjanjian awal disahkan dicapai untuk menamatkan krisis di penjara Syria oleh hampir 800 tahanan politik yang akhirnya membawa kepada pengampunan dan pembebasan mereka tanpa dakwaan.
Kumpulan hak dan aktivis berkata, perjanjian yang dibuat lewat Ahad akan menamatkan pemberontakan di penjara Hamas di tengah Syria yang bermula minggu lalu apabila tahanan politik memberontak selepas lima banduan dipindahkan ke penjara Sadnaya untuk menjalani hukuman mati yang diluluskan tribunal tentera.
"Rejim bersetuju dengan hampir semua tuntutan untuk membebaskan tahanan politik yang ditahan tanpa dakwaan," kata aktivis hak yang berhubung dengan dua banduan.
Banduan merampas penjara yang terletak 210 kilometer dari Damsyik dan menjadikan pengawal sebagai tebusan.
Ia memaksa pihak berkuasa cuba untuk menyerbu penjara itu pada Jumaat menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menamatkan pemberontakan.
Aktivis hak terkemuka Syria, Mazen Darwish, bekas tahanan yang berhubung dengan banduan, berkata perjanjian lisan sudah dicapai tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Kementerian Dalam Negeri Syria menafikan laporan mengenai penjara Hama tetapi tidak mengulas mengenai isu itu sejak Isnin.
Pemantau bagi Hak Asasi United Kingdom mengesahkan perjanjian sedang diusahakan untuk membebaskan 26 tahanan. - Reuters

Gencatan senjata Aleppo dilanjut


Kirby
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS)  melanjutkan tempoh gencatan senjata di Aleppo.
Tempoh gencatan ini adalah 72 jam dan bermula lewat malam semalam meliputi daerah sekitar bandar tersebut.
Jurucakapnya, John Kirby berkata, gencatan senjata itu telah mengurangkan kadar keganasan di bandar itu.
Bagaimanapun, pertempuran berlaku di beberapa lokasi diAleppo dan kumpulan pemberontak, Barisan al-Nusra turut berjaya menawan perkampungan strategik Khan Touman, di luar bandar itu, kelmarin, lapor Press TV.

Gencatan senjata di Aleppo dicabul


Pemandangan di sebatang  jalan  raya  yang lengang di daerah Saif
Pemandangan di sebatang jalan raya yang lengang di daerah Saif al-Dawla, Aleppo merakamkan guni pasir dijadikan sebagai benteng daripada serangan kumpulan-kumpulan bersenjata. REUTERS
BEIRUT 8 Mei – Kumpulan penentang Syria, semalam membedil kawasan yang dikuasai tentera kerajaan di utara bandar Aleppo, sekali gus mencabul gencatan senjata selama 72 jam yang diumumkan Rusia pada hari yang sama.
Berpuluh-puluh bedilan bom dilancarkan di barat Aleppo, mengakibatkan seorang penduduk cedera dan banyak bangunan berhampiran musnah ketika penduduk tempatan dilapor mula kembali ke kediaman masing-masing berikutan pengumuman gencatan senjata itu.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria mengesahkan serangan oleh kumpulan penentang itu yang menguasai bahagian timur bandar itu yang kini terbahagi dua.
“Ini merupakan satu pencabulan gencatan senjata yang jelas,” kata ketua badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman, selepas Rusia mengumumkan lanjutan gencatan senjata selama tiga hari bermula pada pukul 1 pagi waktu Syria.
Menurut badan pemantau itu, jumlah korban sejak keganasan di Aleppo memuncak pada 22 April lalu sehingga kini ialah 286 orang, termasuk 57 kanak-kanak dan 38 wanita.
Sementara itu, penduduk Aleppo yang melarikan diri kini kembali ke rumah masing-masing ketika sekolah mula dibuka semula selepas pengumuman gencatan senjata oleh Rusia itu.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 13 anggota Pengawal Revolusi Iran terbunuh, manakala 21 lagi cedera dalam pertempuran di Aleppo, kehilangan jumlah korban terbesar anggota tentera negara itu dalam tempoh yang singkat di Syria.
Jurucakap tentera Iran, Hossein Ali Rezayi berkata, anggota yang terkorban itu berasal dari wilayah Mazandaran selepas mereka terlibat dalam pertempuran di Kampung Khan Tuman, 10 kilometer barat daya bandar Aleppo.
Kelmarin, kumpulan pemantau di Syria melaporkan sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan militan al-Qaeda dan sekutu mereka.
Dalam perkembangan berasingan, tentera Turki mendakwa mereka membunuh sebanyak 55 orang anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam pengeboman yang dilakukan di utara bandar Aleppo pagi semalam.
Menurut kenyataan sumber tentera hari ini, serangan itu turut memusnahkan tiga buah kenderaan dan tiga alat pelancar roket. – DPA/AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gencatan-senjata-di-aleppo-dicabul-1.320109#sthash.AjdR5tXv.dpuf

Aleppo simpan banyak sejarah


MUHAMAD ZAID ADNAN 
DAN AZUAR FAHMI MOHD. ALI  |  09 Mei 2016 12:06 AM




BANDAR Aleppo yang kini dilanda perang dan krisis kemanusiaan, sebenarnya menyimpan pelbagai kisah dan banyak sejarah.
Aleppo merupakan bandar terbesar di Syria dan mempunyai populasi paling padat di negara itu.
Sebelum perang meletus, bandar Aleppo mempunyai seramai dua juta penduduk, tetapi kini jumlah itu turun mendadak kepada hanya 400,000 orang.
Terletak kira-kira 360 kilometer dari Damsyik dan 45 kilometer dari timur pos pemeriksaan Bab al-Hawa di sempadan Syria-Turki.
Suatu ketika dahulu, Aleppo dikenali sebagai Halb, yang bermaksud besi atau tembaga. Nama tersebut diambil kerana wujudnya tembaga dan logam yang menjadi sumber ekonomi utama di situ pada zaman dahulu.
Selama berabad-abad, Aleppo menjadi bandar terbesar di Syria dan ketiga terbesar ketika pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah selepas Konstantinopel di Rom dan Kaherah di Mesir.
Walaupun jarak Aleppo begitu dekat dengan Damsyik, namun cara kehidupan penduduknya sangat berbeza dengan penduduk Syria yang lain, daripada aspek identiti, seni bina dan budaya.
Aleppo merupakan salah sebuah bandar tertua di dunia. Berdasarkan kajian arkeologi di Tell Qaramel kira-kira 25 kilometer di sebelah utara Aleppo menunjukkan kawasan itu telah dihuni sejak abad ke-11 sebelum Masehi dan menjadi salah satu penempatan tertua manusia di dunia.
Bandar ini pernah berada di bawah kawalan panglima Islam terkenal, Salahuddin Al-Ayyubi atau Saladin yang memerintah Dinasti Ayyubiyah pada 1183.
Pada 1260, Aleppo diambil alih oleh bangsa Mongul di bawah pimpinan Hulagu Khan yang bersekutu dengan putera Antiokhia di Turki, Antioch Bohemond VII dan ayah mertuanya yang merupakan pemerintah Armenia, Hetoum I.
Berikutan penaklukan bangsa Mongul, penduduk Islam di Aleppo melarikan diri ke Damsyik untuk mendapatkan perlindungan daripada pemimpin Mesir, Saif ad-Din Qalawun, dan Saif berjaya menawan semula Aleppo sehingga memaksa pengunduran tentera Mongul ke Sungai Eufrat.
Pada pertengahan abad ke-16, Aleppo menggantikan Damsyik sebagai hab utama perdagangan di kawasan Mediterranean kerana lokasinya yang berada di hujung Laluan Sutera, menghubungkan Asia Tengah dan Mesopotamia.
Syarikat Levant of London yang ditubuhkan pada 1581 yang memonopoli perdagangan Inggeris bersama Kerajaan Uthmaniyyah, menjadikan Aleppo sebagai ibu pejabat utama syarikat tersebut hingga akhir abad ke-18.
Kesan perkembangan ekonomi yang pesat di Aleppo pada masa itu, banyak negara di Eropah membuka kedutaan mereka di Aleppo pada abad ke-16 dan ke-17, termasuk Itali (1548), Perancis (1562), Britain (1583) dan Belanda (1613).
Ketika Perang Dunia 1, seiring dengan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah, Aleppo menyerahkan sebahagian besar kawasan pedalaman di bahagian utara wilayah tersebut kepada kerajaan Turki Moden yang mahu membina landasan kereta api bagi menghubungkan Aleppo dan Mosul di Iraq.
Pada 1940-an, Allepo mula kehilangan akses laluan laut utama di Antiokhia, Turki dan Iskandariah, Mesir.
Perang saudara di Syria memburukkan lagi situasi di bandar tersebut yang mengalami kehancuran dan menyukarkan pemuliharaan semula peninggalan seni bina serta monumen bersejarah.
Banyak penduduk di bandar itu, kini melarikan diri berikutan beberapa siri serangan oleh tentera bersekutu dan kumpulan pemberontak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-simpan-banyak-sejarah-1.320049#sthash.cNdyUIoF.dpuf

Perang di Aleppo ubah landskap konflik Syria


Seorang lelaki Syria tidak dapat menahan kesedihan melihat kediamannya
Seorang lelaki Syria tidak dapat menahan kesedihan melihat kediamannya ranap dalam serangan udara oleh tentera kerajaan di kawasan perumahan al-Kalasa yang dikuasai kumpulan penentang di Aleppo, baru-baru ini. AFP
KEMPEN tentera Syria menyerang bandar Aleppo, habis-habisan yang menjadi kubu kuat kumpulan penentang dan kumpulan militan Islam termasuk kumpulan militan Negara Islam (IS) dan rangkaian militan al-Qaeda serta sekutu mereka sejak dua minggu lalu, mengubah landskap konflik di Syria yang telah berlarutan lebih lima tahun.
Peningkatan serangan oleh tentera Syria dibantu sekutunya Rusia dan Iran ke atas bandar terbesar di Syria itu sejak 22 April lalu menyaksikan nasib kira-kira 400,000 penduduk Aleppo kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’.
Serangan itu mengakibatkan penduduk di bandar itu terperangkap di dalam zon peperangan empat penjuru melibatkan tentera kerajaan, kumpulan penentang, kumpulan militan IS dan Unit Perlindungan Penduduk Kurdis (YPG) yang membentuk wilayah berkenaan kepada beberapa bahagian.
Akibat serangan itu, penduduk Aleppo yang dahulunya berjumlah kira-kira dua juta orang, kini hidup dalam ketakutan apabila tentera kerajaan yang menguasai bahagian barat bandar itu terus membedil kawasan penempatan yang dikuasai kumpulan penentang di timur bandar itu tanpa mengendahkan undang-undang antarabangsa termasuk mengebom klinik dan hospital.
Tindakan seorang ulama pro-Syiah yang berpihak kepada tentera Syria mengeluarkan fatwa yang membenarkan penghapusan penduduk awam di bandar Aleppo juga memburukkan krisis kemanusiaan di Aleppo yang dilihat hanya dapat diselesaikan menerusi gencatan senjata.
Setakat ini, Badan Pemantau Hak Asasi bagi Syria melaporkan, hampir 300 penduduk Aleppo terbunuh sejak operasi ketenteraan di wilayah itu diperhebatkan, dengan jumlah korban dijangka meningkat apabila kumpulan penentang dan tentera kerajaan saling mencabuli beberapa gencatan senjata yang dicapai termasuk yang dikuatkuasakan pada 5 dan 6 Mei lalu.
Perang di Aleppo bukan sahaja memperlihatkan kesungguhan tentera Syria untuk merampas semula bandar itu daripada kumpulan penentang dan kumpulan militan, tetapi juga menyaksikan campur tangan terang-terangan tentera asing di Syria, termasuk campur tangan Rusia, tentera Iran dan pergerakan Hizbullah, yang merupakan sekutu kuat Presiden Bashar al-Assad.
Aleppo yang menjadi kubu kuat kumpulan penentang sejak tercetus perang saudara di Syria, turut menyaksikan kewujudan kumpulan-kumpulan militia lain seperti; Barisan Nusra; Tentera Pembebasan Syria (FSA); Barisan Islam; Fatah Halab; Ansar al-Sharia dan Jabhat Ansar al-Din yang mempertahankan wilayah tersebut daripada tentera kerajaan dan kumpulan militan IS.
Campur tangan terang-terangan Rusia membangkitkan kemarahan Amerika Syarikat (AS) yang melatih dan memberi kelengkapan ketenteraan kepada kumpulan penentang dalam misi utama mereka untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Bashar al-Assad dan kumpulan militan IS di Syria.
Malah Amerika menuduh Rusia menjadikan Syria sebagai medan untuk menguji beberapa senjata baharu mereka selepas jumlah korban akibat pengeboman jet Rusia meningkat secara mendadak sejak campur tangan Moscow di negara itu.
Sejak Februari lalu, tentera kerajaan mula memperhebatkan usaha untuk menawan semula Aleppo daripada kumpulan penentang, sekali gus memutuskan saluran bekalan penting kepada kumpulan penentang dari Turki di kawasan Azaz di utara.
Langkah kerajaan itu dilihat berjaya memberi tekanan kepada kumpulan penentang, apabila tentera kerajaan berjaya menguasai kawasan sempadan yang menjadi sumber bekalan dan kelengkapan ketenteraan dari luar, sekali gus memutuskan laluan bekalan dan menghancurkan kekuatan mereka di Aleppo.
Malah, sejak peningkatan serangan di Aleppo, kumpulan penentang di Idlib yang merupakan satu lagi kubu kuat kumpulan penentang, mula merasai tekanan apabila mereka berdepan peningkatan kos kehidupan, khususnya kos bahan membuat roti dan minyak.
Menyedari agak sukar untuk menumpaskan kumpulan penentang di Aleppo, tentera Syria melaksanakan strategi yang lebih tersusun iaitu memisahkan kawasan penentang dengan wilayah bersebelahan yang dikuasai tentera kerajaan dengan menjadikan kawasan berkenaan seperti ‘pulau’.
Menerusi taktik ini, kumpulan penentang di dalam kawasan terpencil yang dikelilingi tentera kerajaan akan berasa tertekan dan trpaksa bergantung sepenuhnya kepada sekutu tentera kerajaan bagi mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Taktik tersebut turut digunakan tentera kerajaan di bandar Daraa di selatan negara tersebut, apabila kerajaan berjaya mewujudkan ‘pulau’ antara kawasan yang dikuasai tentera kerajaan dengan kumpulan penentang, bagi menghalang kumpulan penentang daripada menguasai kawasan berhampiran sempadan Jordan.
Jika strategi tentera kerajaan ini berjaya, penduduk Aleppo yang terkepung akan berdepan krisis kemanusiaan paling teruk dalam sejarah perang saudara di Syria, dan mereka juga akan berdepan kesukaran untuk menerima bantuan makanan dan perubatan kerana dihalang tentera kerajaan.
Menurut penganalisis, jika tentera kerajaan mencatat kemenangan di Aleppo, ia bukan sahaja akan dapat meningkatkan moral tentera, malah mengukuhkan semula kedudukan kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad, selain akan melemahkan moral kumpulan penentang.
Bagaimanapun, mesej Assad kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, baru-baru ini yang menyatakan beliau tidak bersedia menerima kekalahan selain kemenangan ke atas kumpulan penentang dan pengganas, dikhuatiri akan menjadikan orang awam di Syria terus menjadi mangsa korban perang, pelarian dan hilang tempat tinggal.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perang saudara di Syria setakat ini telah meragut lebih 400,000 nyawa sejak konflik itu meletus pada Mac 2011.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/perang-di-aleppo-ubah-landskap-konflik-syria-1.320047#sthash.6wrErmoq.dpuf