ALEPPO – Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Aleppo akan menjadi tanah perkuburan besar selepas lebih 50,000 penduduknya dilaporkan melarikan diri daripada pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak.
Majlis Keselamatan mengadakan sidang tergempar berhubung pertempuran tersebut di New York kelmarin.
Bercakap pada sidang tergempar tersebut melalui panggilan video dari London, Ketua Kemanusiaan PBB, Stephen O’Brien merayu tindakan segera diambil untuk menghentikan pertempuran di Aleppo.
“Atas dasar kemanusiaan, kami merayu pihak-pihak terlibat dan mereka yang berpengaruh supaya melakukan apa sahaja yang terdaya untuk melindungi orang awam dengan membuka laluan ke timur Aleppo sebelum kawasan itu menjadi tanah perkuburan besar,” katanya.
Desakan serupa dibuat oleh pemimpin kumpulan penentang Syria, Brita Hagi Hassan semasa lawatannya ke Paris juga kelmarin.
Beliau menggesa laluan selamat dibuka bagi membolehkan penduduk awam segera meninggalkan Aleppo.
Kegagalan untuk bertindak, katanya, akan menyebabkan PBB dipersalahkan atas kematian 250,000 penduduk di timur Aleppo yang digempur tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.
“Biarkan orang awam ini keluar, lindungi mereka, sediakan laluan selamat untuk mereka,” kata Brita selepas menemui Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault.
Tentera Bashar dan sekutunya yang dibantu serangan udara Rusia berjaya merampas kira-kira 40 peratus kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di timur Aleppo sejak melancarkan operasi besar-besaran untuk menawan semula bandar itu dua minggu lalu. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4RgrW31nX
Hakcipta terpelihara