Beirut: Tentera Syria dilapor mara dalam pertempuran sengit dengan kumpulan pengganas Daish di bandar purba Palmyra, semalam, dalam serangan yang akan memberi peluang kepada askar yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad itu menguasai kawasan lebih besar di timur Syria.
Penguasaan terhadap Palmyra yang ditawan Daish pada Mei tahun lalu akan menandakan kejayaan paling besar Presiden Bashar al Assad sejak Russia campur tangan dalam perang saudara di negara itu September lalu.
Jet Russia masih meneruskan serangan untuk membantu tentera Bashar dan sekutunya ketika mara dalam serangan terhadap bandar padang pasir itu walapun Moscow baru-baru ini mengumumkan ia mengundurkan sejumlah besar tenteranya dari negara itu.
Seorang anggota komando Russia mati dalam pertempuran berhampiran Palmyra minggu lalu, menunjukkan pembabitan Kremlin di Syria adalah lebih serius daripada yang dinyatakannya.
Agensi berita rasmi Syria, SANA melaporkan, tentera negara itu dan sekutunya menawan lebih banyak kawasan tinggi di sekitar bandar berkenaan.
Kumpulan pemerhati hak asasi Syria pula berkata, pertempuran sengit terus berlaku di pinggir Palmyra.
Pengarahnya Rami Abdulrahman berkata, pertempuran juga berlaku di tapak runtuhan era Roman yang terletak di barat daya Palmyra, tempat tentera Syria tidak boleh bergantung pada bantuan udara kerana bimbang kerosakan lebih teruk akan berlaku di tapak purba itu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:24 AM