Friday, 8 January 2016

1.1 juta di Jerman

Berlin: Jerman mendaftarkan 1.1 juta pemohon suaka pada 2015, kata kementerian dalam negerinya semalam, dengan pelarian dari Syria merangkumi hampir 40 peratus daripadanya.
Jumlah itu rekod baru untuk ekonomi terbesar Eropah berkenaan dan lebih lima kali ganda berbanding 2014.
Jumlah pelarian Syria mencari perlindungan di Jerman tahun lalu seramai 428,468 orang diikuti orang Afghanistan (154,046) dan Iraq (121,662).
Bagaimanapun, tidak semua memfailkan permohonan suaka secara rasmi, dan tidak semua juga dibenarkan tinggal di Jerman kerana ‘pendatang ekonomi’ dari negara yang tidak menghadapi peperangan akan dihantar pulang.
Kementerian itu mengakui jumlah 1.1 juta orang direkodkan mungkin termasuk pendaftaran berulang di negeri berbeza di negara itu, selain orang yang sudahpun bergerak ke negara Kesatuan Eropah (EU) lain.
Permohonan suaka sebenar didaftarkan pada 2015 mencapai 476,649, kata kementerian itu - lebih dua kali ganda 2014.
Hanya mereka yang lari dari perang seperti rakyat Syria, Iraq dan segelintir Afghanistan iaitu kira-kira separuh daripada pemohon akan diberi status pelarian.
Canselor Jerman, Angela Merkel menegaskan kebanyakan rakyat negara Balkan seperti Serbia, Albania dan Kosovo akan dihantar pulang.
Menteri Dalam Negeri Thomas de Maiziere semalam mengulangi azam kerajaannya untuk mengurangkan kemasukan pemohon suaka ke negara itu.
“Kami akan mengurangkan kemasukan pemohon suaka baru ke Jerman,” katanya.
Ketibaan pendatang berkurangan bulan lalu, tetapi de Maiziere berkata, ia dipengaruhi cuaca buruk yang menghalang pendatang memulakan perjalanan berbahaya melintasi Laut Mediterranean.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 6:57 AM


SEORANG pendatang mendukung anaknya memasuki sempadan Serbia dari Macedonia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105426#sthash.4yZ88aZP.dpuf

Iran dakwa Arab Saudi bom kedutaannya di Yemen



BEBERAPA jentera bomba dikerahkan untuk memadamkan api di bangunan kedutaan Iran di Yemen semalam.


TEHERAN – Beberapa pesawat pejuang milik Arab Saudi sengaja mengebom Kedutaan Iran di Yemen dalam satu serangan udara yang menyebabkan sebilangan kakitangan di kedutaan itu cedera, kata Teheran semalam.
“Perbuatan ini yang disengajakan oleh Arab Saudi melanggar semua undang-undang antarabangsa yang melindungi misi diplomatik.
“Kerajaan Arab Saudi bertanggungjawab ke atas kerosakan dan kecederaan yang dialami kakitangan kedutaan kami. Iran berhak untuk melindungi kepentingannya dalam perkara ini,” kata jurucakap kementerian luar, Jaber Ansari menurut laporan stesen televisyen Iran.
Iran yang mengikuti ajaran Syiah bertelagah dengan Arab Saudi yang berfahaman Sunnah berhubung isu serantau di Asia Barat.
Namun, ketegangan antara dua negara itu memuncak pada hujung minggu lalu susulan pelaksanaan hukuman mati oleh Riyadh terhadap ulama Syiah berpengaruh, Nimr Al-Nimr dan 46 individu lain.
Kematian Nimr mencetuskan demonstrasi di banyak negara termasuk Iran. Sekumpulan penunjuk perasaan menyerbu dan membakar Kedutaan Arab Saudi di Teheran.
Tindakan itu mendorong Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran dengan langkah serupa dilakukan oleh sekutunya termasuk Bahrain dan Sudan.
Emiriyiah Arab Bersatu pula mengurangkan hubungannya dengan Iran, manakala Kuwait dan Qatar memanggil pulang duta masing-masing di Teheran.
Satu pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan perang udara terhadap kumpulan pemberontak Syiah Houthi di Yemen sejak Mac lalu.
Dalam pada itu, Iran mengharamkan semua produk dari Arab Saudi semalam, manakala larangan rakyat Iran mengerjakan umrah di kota suci Mekah masih berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.
“Kabinet Iran mengharamkan kemasukan semua produk milik Arab Saudi dan dari Arab Saudi,” kata kerajaan dalam satu kenyataan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3wbAmUnVS 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, 7 January 2016

50,000 Gambar Mengerikan


50,000 gambar mengerikan memaparkan manusia yang sedang menderita kebuluran dan mengalami kecacatan fizikal yang dahsyat.


Bashar dan tali barutnya telah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam. Walaupun terdapat beribu-ribu bukti dalam bentuk video, gambar mahu pun kejadian sebenar di hadapan mata umat Islam di Syria, sehingga kini masih tiada sebarang langkah praktikal yang telah diambil oleh mereka yang mengakui sebagai pemimpin umat Islam dan juga mana-mana pertubuhan antarabangsa.

Terbaru, seorang pegawai telah berpaling tadah daripada rejim pembunuh Bashar, menggunakan nama samaran "Caesar", dan telah mendedahkan lebih banyak bukti pembunuhan beramai-ramai ini pada skala yang amat mengerikan. Dua buah keluarga Syria menjumpai gambar orang-orang tersayang mereka yang telah hilang melalui imej-imej grafik yang diseludup. Sedihnya, gambar tersebut hanya menunjukkan tubuh-tubuh mereka yang sudah kaku.

Kita harus ingat bahawa bukti ini adalah hanya satu contoh kecil daripada skala asal kekejaman yang terpaksa dilalui oleh saudara se-Islam kita di Syria. Masyarakat antarabangsa dan para pemimpin umat Islam akan terus membutakan mata mereka terhadap pembunuhan beramai-ramai umat Islam ini sehinggalah mereka menjumpai pengganti Bashar yang 'sesuai'.

Sumber: huffingtonpost

2 bot karam di perairan Turki, 36 pendatang maut

KHAMIS, 7 JANUARI 2016 @ 12:36 AM

PIHAK berkuasa menemui sekurang-kurangnya 36 mayat pendatang yang lemas di luar pantai Turki selepas bot mereka terbalik dalam arus kuat ketika cuba sampai ke pulau Lesbos, Greek. - Foto REUTERS

ANKARA: Pihak berkuasa menemui sekurang-kurangnya 36 mayat pendatang yang lemas di luar pantai Turki selepas bot mereka terbalik dalam arus kuat ketika cuba sampai ke pulau Lesbos, Greek. Dua belas daripada pendatang terbabit berjaya diselamatkan. Sembilan mayat termasuk kanak-kanak terdampar di sebuah pantai di bandar pelancongan Ayvalik awal pagi semalam, menyebabkan pihak berkuasa mengerahkan bot pengawal pantai dan pegawai polis Perancis mencari mangsa terselamat menerusi jalan laut dan darat. Agensi berita persendirian Dogan melaporkan, tujuh lagi mayat terdampar di pantai Dikili, pusat pelancongan terletak 50 kilometer di selatan Ayvalik, mangsa tragedi pendatang kedua. Mereka yang maut termasuk wanita dan kanak-kanak. Menurut kenyataan Pengawal Pantai, menjelang lewat tengah hari, pasukan Perancis itu menemui sejumlah 29 mayat di kawasan itu sementara tujuh lagi ditemui pihaknya. Kira-kira 850,000 pendatang dan pelarian berusaha sampai ke Greece tahun lalu, membayar samseng penyeludup membawa mereka keluar dari Turki menggunakan bot usang. Tidak mengira cuaca dingin dan laut bergelora musim sejuk, pendatang kebanyakannya dari Syria terus mengambil risiko melakukan perjalanan ke Greece dengan harapan memulakan kehidupan lebih baik di Eropah. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/111804

34 mayat pelarian ditemui di Pulau Lesbos

mayat salah seorang daripada 34 pelarian yang lemas terdampar

07 Januari 2016 1:09 AM

Mayat salah seorang daripada 34 pelarian yang lemas terdampar di pantai Aegean di pekan Ayvalik, Turki, selepas bot yang mereka naiki karam di luar pantai Pulau Lesbos, Greece, kelmarin. REUTERS
ISTANBUL 6 Jan. – Sebanyak 34 mayat pelarian termasuk sekurang-kurangnya tujuh daripada mereka kanak-kanak ditemui di dua lokasi sepanjang pantai Aegean, semalam ketika mereka cuba menyeberangi Laut Aegean ke Pulau Lesbos.
Kebanyakan pelarian itu dari Syria yang mencari perlindungan di Eropah, walaupun dalam musim sejuk.
Kira-kira sejuta pelarian dipercayai menyeberangi Laut Aegean pada tahun lalu, hampir lima kali lebih ramai berbanding tahun sebelumnya.
Sekumpulan pelarian yang ditemui, semalam meninggal dunia selepas bot yang mereka naiki karam di lautan, namun tidak dapat dipastikan bilangan sebenar bot yang digunakan dan bilangan penumpang di dalam bot-bot tersebut.
Sebanyak 24 mayat ditemukan di kawasan pantai di daerah Ayvalik, manakala 10 lagi mayat ditemui berhampiran daerah Dikili, lapor seorang pegawai Gendermerie.
Pengawal pantai dan Gendermeria berjaya menyelamatkan 12 orang pelarian di laut dan kawasan pantai di Ayvalik.
Pengawal pantai memaklumkan bahawa tiga buah bot dan helikopter turut digunakan dalam operasi mencari mangsa yang lemas di lautan.
“Ini satu jenayah kemanusiaan kerana ‘pembunuh’ telah menghantar pelarian ke laut,” kata Gabenor Ayvalik, Namik Nazli merujuk kepada penyeludupan manusia yang mengeksploitasi orang pelarian yang menuju ke Eropah.
Namik berkata, sebanyak 50 hingga 60 pelarian dari Iraq, Syria dan Algeria menyeberangi lautan dari Dikili menggunakan dua buah bot. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/34-mayat-pelarian-ditemui-di-pulau-lesbos-1.177146#sthash.tZXoLs2G.dpuf

Wednesday, 6 January 2016

Mayat budak, wanita hamil ditemui terdampar

Istanbul: Pihak berkuasa Turki menemui 21 mayat pelarian, termasuk kanak-kanak dan wanita hamil terdampar di pantai dan terapung dalam laut barat negara itu selepas bot membawa pelarian terbabit, karam ketika cuba menyeberang Laut Aegean menuju Greece, hari ini.
Menurut agensi berita Dogan, sekumpulan pelarian menyeberang laut untuk ke Pulau Lesbos di Greece sebelum subuh menggunakan bot getah tetapi bot berkenaan terbalik akibat cuaca buruk dan ombak besar.
Sebanyak 14 mayat ditemui terdampar di pantai dekat pantai peranginan Ayvalik dan kawasan sekitarnya manakala lapan pelarian berjaya diselamatkan. Antara yang ditemui mati ialah seorang wanita yang hamil enam bulan.
Imej yang disiarkan Dogan menunjukkan mayat kanak-kanak yang lengkap berpakaian terdampar di pantai dengan memakai jaket keselamatan.
Menurut Dogan, tujuh lagi mayat pelarian ditemui di pantai peranginan Dikili, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Turki menjadi penempatan sementara 2.2 juta pelarian akibat perang saudara di Syria sebelum mereka menyeberang laut ke Eropah, kebiasaannya menggunakan khidmat penyeludup dengan bayaran tertentu.

Pertubuhan Pelarian Antrabangsa (IOM) menyatakan 1.4 juta pendatang dan pelarian tiba di Eropah tahun lalu dan 3,771 mati ketika menyeberang Laut Mediterranean untuk ke Eropah. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 9:45 PM

Orang ramai merakam gambar mayat pelarian yang ditemui terdampar di pantai peranginan Ayvalik, Turki, dan gambar kanan, antara mayat lain yang ditemui. - Foto REUTERS
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105077#sthash.TIR27mBd.dpuf

PBB masuk campur


PENUNJUK perasaan Iran membawa gambar ulama Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr dalam satu protes di Teheran kelmarin. - REUTERS


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – PBB bertindak pantas kelmarin untuk melindungi usaha damai di Syria dan Yemen daripada tergugat susulan perang diplomatik antara Arab Saudi dan Iran.
Utusan PBB ke Syria, Staffan de Mistura mengadakan beberapa perbincangan di Riyadh dan dijadualkan melawat Teheran lewat minggu ini bagi mendapatkan jaminan bahawa proses damai di Syria tidak akan tergugat oleh perbalahan tersebut.
De Mistura cuba untuk mengadakan rundingan damai antara rejim Presiden Bashar Al-Assad dan pihak penentang Syria di Geneva pada 25 Januari ini.
Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada Ahad lepas selepas kumpulan penunjuk perasaan menyerang dan membakar Kedutaan Arab Saudi di Teheran. Mereka membantah pelaksanaan hukuman mati terhadap ulama Syiah, Nimr Al-Nimr oleh Riyadh.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut menghubungi menteri luar kedua-dua negara untuk mendesak mereka supaya mengelak sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan, kata jurucakapnya, Stephane Dujarric.
“Perbalahan ini boleh mendatangkan kesan buruk di rantau Asia Barat,” katanya.
Sebelum ini, Iran dan Arab Saudi memainkan peranan utama ke arah penyelesaian politik berhubung perang saudara di Syria dan Yemen.
Duta Arab Saudi di PBB, Abdallah al-Mouallimi berkata, perbalahan dengan Iran tidak memberikan sebarang kesan kerana “kami akan terus bekerja keras untuk menyokong usaha damai antarabangsa di Syria dan Yemen”.
Dalam pada itu, Kuwait semalam menjadi negara Teluk Arab terbaru memanggil pulang dutanya dari Iran kerana membantah serangan ke atas Kedutaan Arab Saudi selepas Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3wPhIt3w3 
Hakcipta terpelihara 

Britain digesa bela pelarian kanak-kanak

seorang kanak-kanak pelarian menolak adiknya di dalam kereta tolak

06 Januari 2016 1:02 AM
Seorang kanak-kanak pelarian menolak adiknya di dalam kereta tolak ditemani seorang lagi adiknya di kem pelarian Grande-Synthe di utara Perancis pada 29 Disember lalu. AFP
LONDON 5 Jan. - Kerajaan Britain digesa membela nasib kira-kira 3,000 pelarian kanak-kanak yang mencari perlindungan di benua Eropah sebatang kara, kerana bimbang golongan itu menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
Badan khas yang ditubuhkan Parlimen Britain, Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan untuk mengambil golongan kanak-kanak terbabit dalam usaha memberi perlindungan kepada kira-kira 20,000 pelarian Syria.
Pengerusi jawatankuasa terbabit, Stephen Twigg berkata, golo­ngan kanak-kanak merupakan mangsa paling mudah terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman disebabkan krisis pelarian.
“Kanak-kanak pelarian yang ti­dak berteman berisiko menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia dan mereka akan dijadikan sebagai pelacur, buruh kanak-kanak dan terlibat dalam penjualan dadah.
“Isu ini perlu diberi keutamaan oleh kerajaan Britain,” kata Twigg yang mengetuai jawatankuasa tersebut bagi memantau perkembangan Kementerian Pembangunan Bantuan (DFID) Britain.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migran (IOM), lebih sejuta pelarian, separuh daripada mereka merupakan rakyat Syria yang melarikan diri daripada peperangan, mencari perlindungan di Eropah pada tahun lalu.
September lalu, Perdana Menteri Britain, David Cameron berjanji untuk mengambil kira-kira 20,00 pelarian Syria dalam tempoh lima tahun sebagai memenuhi permintaan rakyat yang mahu nasib pelarian perang dibela.
Dalam perkembangan sama, jurucakap kerajaan dalam kenyataannya berkata, London akan meneliti semula isu membawa kanak-kanak pelarian Syria ke negara ini, sama ada dari rantau Asia Barat atau negara Kesatuan Eropah.
“Kerajaan akan memastikan usul program perlindungan kepada pela­rian akan memenuhi kepentingan kanak-kanak yang terjejas dan tidak mengabaikan nasib golongan itu,” jelas kenyataan tersebut. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/britain-digesa-bela-pelarian-kanak-kanak-1.176808#sthash.WkmgZyQA.dpuf

Penduduk Syria terdedah bahaya gas sarin


Gambar fail merakamkan sebahagian daripada 200 mayat penduduk awam Syria termasuk kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan gas sarin di kawasan kediaman Duma dekat Damsyik pada 21 Ogos lalu yang didakwa dilakukan tentera Syria. REUTERS
NEW YORK 5 Jan. – Tentera Syria dipercayai masih menggunakan senjata kimia bagi memerangi kumpulan pemberontak, ekoran pendedahan laporan yang menunjukkan penduduk negara itu terdedah kepada serangan gas sarin atau bahan seumpamanya, yang boleh membawa maut.
Mengikut laporan bulanan Pertubuhan Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), siasatan berhubung penggunaan senjata terlarang di Syria dilaksanakan susulan dakwaan yang menyatakan kerajaan Syria menggunakan bahan berbahaya itu sebanyak 11 kali.
Portal Channel News Asia yang memetik kenyataan ketua OPCW, Ahmet Uzumcu berkata, dalam satu kejadian, ujian analisis ke atas beberapa penduduk, mendapati mereka terdedah kepada bahaya gas sarin atau bahan yang hampir sama.
“Siasatan lanjut perlu dilakukan bagi memastikan bagaimana dan bila bahan yang boleh membawa maut tersebut wujud,” katanya tanpa menjelaskan bila kejadian sera­ngan gas sarin tersebut berlaku.
Pada 2013, kerajaan Syria bersetuju memusnahkan kesemua program senjata kimianya menerusi satu perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, selepas beratus-ratus orang maut dalam serangan gas sarin di pinggir Damsyik.
Susulan itu, rejim Bashar al-Assad menuduh kumpulan penentang menggunakan senjata kimia, walaupun dakwaan tersebut dinafikan oleh kumpulan yang disokong oleh Barat itu.
Sehingga Jun 2014, kerajaan ­Sy­ria telah menyerahkan senjata ki­mia seberat 1,300 tan kepada OPCW, tetapi beberapa kerajaan Barat meragui Damsyik telah menyerahkan keseluruhan senjata berkenaan.
OPCW dalam siasatannya juga mendakwa gas kimia jenis klorin juga digunakan secara sistematik oleh kerajaan Syria ke atas penduduk awam di negara itu.
Penggunaan senjata kimia jenis gas mustard turut digunakan dalam serangan di sebuah pekan yang dikuasai kumpulan militan Negara Islam (IS).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-syria-terdedah-bahaya-gas-sarin-1.176816#sthash.3hUV1PVg.dpuf

Monday, 4 January 2016

Arab Saudi anjur perbincangan tamatkan konflik Syria

ISNIN, 7 DISEMBER 2015 @ 9:48 AM

RIYADH: Arab Saudi akan menjadi tuan rumah kepada satu perbincangan dengan kumpulan pembangkang di Syria mulai esok sehingga 10 Disember ini di Riyadh. Perbincangan itu bermatlamat untuk memilih wakil bagi rundingan antarabangsa mengenai masa depan Syria, demikian lapor agensi berita rasmi, Saudi Press Agency (SPA), hari ini. Mesyuarat di Riyadh itu menandakan satu usaha untuk menyatukan kumpulan berbeza bagi mencapai satu rundingan damai ke arah menamatkan konflik di Syria yang berlarutan hampir lima tahun. "Raja Arab Saudi sudah menghantar jemputan kepada semua kumpulan sederhana di Syria membabitkan kumpulan berbeza dari segi pandangan politik, etnik, kepercayaan di luar atau di dalam Syria," kata SPA memetik sumber pegawai kanan Kementerian Luar. Arab Saudi adalah negara yang kuat menyokong kumpulan pembangkang yang mahu menumbangkan Presiden Syria, Bashar al-Assad. Mesyuarat itu bagaimanapun tidak termasuk Kumpulan Negara Islam (IS) yang kini menguasai beberapa kawasan di sebelah timur Syria, barat daya Iraq dan mengisytiharkan sebagai kalifah di rantau itu. Barisan Nusra yang menjadi rangkaian A-Qaeda yang turut disenaraikan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai kumpulan pengganas, juga tidak dijemput menyertai mesyuarat itu. Kumpulan pemberontak, Tentera Islam dan dua kumpulan lain mengesahkan sudah menerima jemputan menghadiri mesyuarat di Riyadh. - AFP


 PENDUDUK tempatan membantu mangsa selepas serangan udara di Jisreen.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/102853

AS tidak akan diheret dalam perang di Iraq, Syria - Obama

ISNIN, 7 DISEMBER 2015 @ 10:11 AM

PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama. - Foto AF


WASHINGTON: Presiden Barack Obama sekali lagi menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak akan diheret ke dalam peperangan di darat di Syria atau Iraq, biarpun ia meningkatkan penentangan terhadap kumpulan IS. "Kami tidak patut diheret sekali lagi ke dalam peperangan di darat yang panjang di Iraq dan Syria. Itulah apa yang diinginkan ISIL (IS)," kata Obama dalam perutusan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dari Oval Office susulan insiden tembakan di California. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/102860

Saturday, 2 January 2016

Lebih 55,000 kematian di Syria tahun lalu

Syria

2 JANUARI 2016


BEIRUT - SYRIA. Hampir 21,000 orang awam adalah antara lebih 55,000 mangsa yang terkorban sepanjang tahun lalu dalam perang saudara di Syria, menurut kumpulan pemantau, semalam.
Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, sebanyak 55,219 kematian dicatatkan pada 2015 sekali gus menjadikannya tahun ketiga paling dahsyat di negara itu sejak perang saudara tercetus lima tahun lalu.
"Antara 20,977 orang awam yang meninggal dunia tahun lalu, 2,574 adalah kanak-kanak. Angka tersebut juga meliputi 16,212 kematian di kalangan anggota militan termasuk daripada kumpulan IS, al-Qaeda di Syria dan  Barisan Nusra," menurut kumpulan tersebut.
Konflik turut menyebabkan lebih sejuta yang lain cedera dan hampir separuh daripada penduduk negara berkenaan menjadi pelarian. - dp
a

Friday, 1 January 2016

157 militan serah diri

157 militan serah diri

1 JANUARI 2016

DAMSYIK - SYRIA. Sekurang-kurangnya 157 anggota kumpulan militan IS menyerah diri kepada tentera Syria selepas unit pasukan keselamatan negara yang disokong kumpulan pertahanan bersekutu terus berjaya dalam pertempuran di seluruh negara.
Menurut laporan agensi berita SANA, seramai 117 pengganas meletakkan senjata dan menyerah diri kepada pihak berkuasa di bahagian barat bandar Homs, kelmarin.
"40 orang lagi menyerah diri di ibu negara dan di tengah bandar Hama," menurut laporan berita itu.
Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya 16 maut manakala 35 yang lain cedera dalam beberapa siri letupan didakwa dilakukan IS di bandar Qamishli, terletak kira-kira 680 kilometer dari timur laut ibu negara.
Tiga letupan memusnahkan tiga restoran di bandar tersebut, menyasarkan orang ramai yang berkumpul bagi meraikan kedatangan tahun baharu.
Kumpulan terbabit bagaimanapun mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan melalui satu kenyataan dalam talian bertulis, puluhan orang terbunuh dan cedera dalam pengeboman di kawasan berbeza di bandar Qamishli, lapor Press TV
.

Dua Letupan Bom Di Syria Ragut 16 Nyawa


Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2015 10:12 AM

BEIRUT: Kira-kira 16 orang awam terbunuh manakala 35 lagi cedera selepas dua bom meletup dan memusnahkan dua restoran di bandar dekat timur laut Syria, kata pihak berkuasa Kurdis.
Militia Unit Pertahanan Rakyat (YPG) Kurdis, Redur Xelil berkata letupan di Qamishli, dekat sempadan Turki itu didakwa dilakukan Kumpulan Militan Negara Islam (IS).
Pemantau hak asasi manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata berlaku letupan ketiga di bandar yang diduduki majoriti penduduk Kristian itu, namun pihaknya tidak mengulas lanjut mengenainya.
YPG adalah pasukan tempur darat paling efektif di Syria yang bersekutu dengan tentera gabungan diketuai Amerika Syarikat untuk menentang IS.
Pada Oktober lalu ia menjadi sebahagian pakatan Angkatan Demokratik Syria yang di sokong AS dan melancarkan serangan ke atas IS di timur laut wilayah Hasaka.
Serangan itu memaksa IS berundur ke bandar di sempadan Iraq manakala angkatan Kurdis di Iraq menawan bandar Sinjar daripada kumpulan jihad.
IS melancarkan banyak serangan di kawasan Kurdis kebelakangan ini termasuk yang menggorbankan berpuluh nyawa pada awal bulan ini. 

AS tuduh Rusia bunuh orang awam Syria

AS tuduh Rusia bunuh orang awam Syria

31 DISEMBER 2015

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Amerika Syarikat (AS) mendakwa operasi ketenteraan Rusia di Syria sejak September lalu, telah meragut ratusan nyawa penduduk awam di negara itu.
Jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner berkata serangan udara yang kononnya disasarkan ke atas kedudukan kumpulan IS itu turut memusnahkan hospital, sekolah dan pasar awam.
"Pada bulan Oktober dan November sahaja, kira-kira 130,000 rakyat Syria hilang tempat tinggal atau menjadi pelarian akibat serangan udara Rusia," katanya.
Sebelum ini, AS turut menuduh Rusia sengaja menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan yang terjejas.
Ironinya, pakatan tentera antarabangsa diketuai AS telah melancarkan serangan udara di Syria sejak Ogos 2014 tanpa kebenaran Damsyik mahupun mandat dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Press TV
.

Thursday, 31 December 2015

16 maut serangan bom di Syria

KHAMIS, 31 DISEMBER 2015 @ 9:27 AM





BEIRUT: Sekurang-kurangnya 16 terbunuh manakala 35 lagi cedera selepas dua bom meletup dan memusnahkan dua restoran di bandar dekat timur laut Syria, kata pihak berkuasa Kurdis. Militia Unit Pertahanan Rakyat (YPG) Kurdis, Redur Xelil berkata letupan di Qamishli, dekat sempadan Turki itu didakwa perbuatan Kumpulan Militan Negara Islam (IS). Pemantau hak asasi manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata berlaku letupan ketiga di bandar yang diduduki majoriti penduduk Kristian itu, namun tidak mengulas lanjut. YPG adalah pasukan tempur darat paling efektif di Syria yang bersekutu dengan tentera gabungan diketuai Amerika Syarikat untuk menentang IS. Oktober lalu ia menjadi sebahagian pakatan Angkatan Demokratik Syria yang di sokong AS dan melancarkan serangan ke atas IS di timur laut wilayah Hasaka. Serangan itu memaksa IS berundur ke bandar di sempadan Iraq manakala angkatan Kurdis di Iraq menawan bandar Sinjar daripada kumpulan jihad. IS melancarkan banyak serangan di kawasan Kurdis kebelakangan ini termasuk yang mengorbankan berpuluh orang awal bulan ini. - REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/109788

Tuesday, 29 December 2015

NGO Indonesia biayai hospital di utara Gaza

SELASA, 29 DISEMBER 2015 @ 2:36 PM


BAITULMAQDIS: Kementerian Kesihatan Palestin membuka sebuah hospital dibiayai Indonesia, kelmarin bagi memberi khidmat kepada penduduk di utara Gaza. Kemudahan lama di kawasan itu, Hospital Kamal Adwan, ditutup untuk pengubahsuaian dan penyelenggaraan. Hospital baharu itu, dibina pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia, memiliki 110 katil, termasuk 10 di unit rawatan rapi (ICU). Jurucakap kementerian, Dr Ashraf Al-Qudra memberitahu Quds Press, hospital itu penting sebagai tambahan penjagaan kesihatan, dengan kemudahan perubatan berkualiti tinggi bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk di utara Gaza. Beliau menambah, hospital berharga AS$15 juta (RM64.41 juta) itu menyediakan khidmat penjagaan kesihatan khas dalam bidang perubatan dalaman, pembedahan dan ortopedik. Al Qudra juga berkata, hospital baharu itu memiliki pengimbas CT, paling maju di Gaza setakat ini selain empat bilik bedah lengkap, sebagai tambahan kepada ICU, doktor perubatan layak dan jururawat. Beliau melahirkan perasaan optimis mengenai keupayaan hospital itu sebagai peneraju perkhidmatan perubatan disediakan di Gaza. - AGENSI  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/109270

450 keluarga pemberontak Syria selamat dipindahkan


SELASA, 29 DISEMBER 2015 @ 7:29 AM


ASKAR Lubnan mengawal konvoi bas yang membawa 450 pejuang Syria dan keluarga mereka daripada bandar Syria ke arah lapangan terbang Beirut, Beirut, Lebanon. - Foto EPA


BEIRUT: Operasi memindahkan kira-kira 450 pejuang Syria dan keluarga mereka dari dua kawasan yang dirampas, selesai semalam dengan ketibaan pesawat membawa mereka ke lapangan terbang di Beirut dan Hatay di Turki.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sumber di lapangan terbang berkata, kedua-dua pesawat dinaiki 330 pejuang Syria dan orang awam yang dipindahkan dari dua bandar Syiah pro-kerajaan di barat laut Syria tiba di lapangan terbang di sini.
Sumber berkata, sebuah lagi pesawat membawa 126 pejuang pemberontak terperangkap di Zabadani berhampiran sempadan Lubnan yang mendarat pada waktu hampir sama di Turki. - Reuters

4,000 penentang Bashar pindah


SEORANG lelaki cedera parah akibat serangan udara yang dilancarkan oleh tentera kerajaan di Hammuriyeh iaitu kawasan yang dikuasai pemberontak di pinggir Damsyik, Syria pada Khamis lalu. - AFP


DAMSYIK – Kira-kira 4,000 orang termasuk separuh daripadanya merupakan anggota pejuang pemberontak dipindahkan dari tiga daerah di selatan Syria sebagai sebahagian daripada pelan genjatan senjata, menurut sumber kepada AFP kelmarin.
Anggota daripada kumpulan Islamic State (IS) dan lawannya, Al-Nusra iaitu sekutu Al-Qaeda di Syria dilaporkan keluar dari daerah Qadam, Hajar al-Aswad dan kem Palestin di Yarmuk.
“Persetujuan itu dicapai de­ngan 4,000 anggota pejuang, orang awam, termasuk anggota Al-Nusra dan IS meninggalkan kawasan berkenaan mulai kelmarin,” ujar sumber kerajaan yang rapat dengan pasukan perunding.
Penentang kerajaan rejim Presiden Bashar al-Assad itu dikatakan dibawa menggunakan 18 buah bas ke bandar Raqa yang dikuasai oleh IS selain di Marea yang dikawal oleh Al-Nusra.
“Fasa kedua perjanjian itu akan menyaksikan pejabat kerajaan dibuka semula di kawasan-kawasan perumahan dan menjamin bekalan barangan keperluan ha­rian,” ujar sumber berkenaan.
Ini adalah kali pertama dalam masa lebih dua tahun apabila barang-barang keperluan dapat dibawa masuk ke tiga daerah di selatan Damsyik.
Pada April lepas, IS menyerang kem pelarian Yarmuk selepas bertempur dengan pejuang Al-Nusra untuk menguasai kawasan berkenaan. Kumpulan berkenaan kemudian me­nguasai bandar Qadam pada Ogos lalu selepas melancarkan serang­an berdekatan Hajar al-Aswad.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria memberitahu, perjanjian genjatan senjata tersebut dilakukan selepas rundingan selama dua bulan antara kerajaan Syria dan ketua-ketua daerah.
“Setiap seorang ahli kumpulan dibenarkan membawa bersama keluarga mereka, satu beg dan senjata milik sendiri,” ujar seorang ketua penduduk tempatan di Qadam. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3vheK1Npu 
Hakcipta terpelihara 

Korban Homs

Beirut: Sekurang-kurangnya 32 terbunuh dan 90 cedera dalam dua letupan bom di Homs, semalam, lapor kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).
Satu letupan membabitkan bom kereta manakala yang kedua akibat serangan berani mati di kawasan Zahra di pusat bandar itu, kata SOHR yang memantau konflik menggunakan rangkaian pemberi maklumat di lokasi.
Agensi berita Syria, SANA melaporkan dua bom kereta meletup tetapi memberi jumlah kematian awal lebih rendah iaitu enam orang dan 37 cedera.
Ia serangan kedua yang terbesar di bandar itu sejak gencatan senjata awal bulan ini yang membuka ruang untuk kerajaan menawan semula kawasan di Homs yang dipegang penentang.
Dua letupan pada 12 Disember lalu, juga di Zahra, mengakibatkan 16 orang terbunuh. Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab atas serangan itu yang didakwa menggunakan pengebom berani mati membawa kereta diisi letupan.
Sementara itu, ratusan pejuang dan orang awam dipindahkan dari dua kawasan di Syria berikutan perjanjian antara pihak bertelagah, disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata pekerja bantuan dan sumber terdekat.
Sekurang-kurangnya 130 pejuang penentang yang kebanyakannya cedera meninggalkan bandar Zabadani untuk ke sempadan Lubnan berhampiran, sementara 350 lagi pejuang dan orang awam dari bandar Syiah prokerajaan di barat laut Syria dibawa ke sempadan Turki.
Mengikut persetujuan itu, pejuang dari kumpulan Ahrar al-Sham dan penentang tempatan yang terperangkap di Zabadani sejak berbulan-bulan lalu dijanjikan laluan selamat ke lapangan terbang Beirut seterusnya ke Turki.
Pada masa sama, pejuang serta keluarga mereka di dua bandar Syiah di Idlib dibawa ke Turki sebelum diterbangkan ke Beirut.
Kebanyakan pejuang penentang berfahaman Sunni yang dihantar ke Turki akan dibenarkan kembali ke kawasan dipegang kumpulan berkenaan melalui sempadan di utara Syria atau terus mendapatkan rawatan perubatan jika diperlukan.
Pada masa sama, golongan berfahaman Syiah dibenarkan ke Lubnan di bawah penjagaan Hizbullah, sebelum kembali ke Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 6:06 AM




ORANG ramai memeriksa lokasi dua serangan bom kereta di al-Zahraa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103135#sthash.ocrmDwH8.dpuf

Cohen-Fisher derma 
RM4.29 juta bantu pelarian Syria


LOS ANGELES 28 Dis. – Dua pelakon Hollywood, Sacha Baron Cohen dan Isla Fisher menderma sebanyak AS$1 juta (RM4.29 juta) kepada dua badan amal iaitu Save the Children dan International Rescue Committee (IRC) bagi membantu mangsa-mangsa keganasan di Syria.
Scha baron Cohen bersama isterinya, Isla Fisher.
Save the Children berkata, pasangan selebriti itu menyumbangkan AS$500,000 (RM2.1 juta) kepada organisasi tersebut bagi membiayai program vaksinasi campak kepada kanak-kanak di utara Syria.
Menurut laman web ew.com, pasangan itu juga turut menyumbang AS$500,000 (RM2.1 juta) lagi kepada IRC bagi tujuan menyara keluarga terutama golongan wanita dan kanak-kanak di Syria.
“Sumbangan mereka untuk membantu kanak-kanak Syria akan membantu mengutarakan tragedi berkenaan kepada penduduk dunia,” ujar Ketua pegawai Eksekutif Save the Children, Justin Forsyth dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sumbangan tersebut akan mampu menyelamatkan ribuan nyawa penduduk di Syria dan melindungi penduduk terutama kanak-kanak.
Sehingga kini, lebih tujuh juta penduduk di Syria kehilangan tempat tinggal mereka manakala hanya empat juta sahaja masih menetap di kawasan-kawasan di sekitar Syria.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/cohen-fisher-derma-8232-rm4-29-juta-bantu-pelarian-syria-1.173815#sthash.kbKZlkC0.dpuf

32 maut tiga serangan bom serentak di Homs

Penduduk Syria memeriksa runtuhan bangunan bagi mencari mangsa-mangsa

Penduduk Syria memeriksa runtuhan bangunan bagi mencari mangsa-mangsa terperangkap selepas dua serangan bom kereta dan satu serangan berani mati yang dilancarkan secara serentak di kawasan perumahan al-Zahraa, Homs kelmarin yang menyaksikan 32 orang terbunuh. AFP
DAMSYIK 28 Dis. – Sekurang-kurangnya 32 orang terkorban, manakala 132 lagi cedera selepas tiga serangan bom serentak di tengah bandar Homs, hari ini.
Stesen televisyen tempatan melaporkan, angka kematian awal dalam serangan di kawasan perumahan Al-Zahraa di bandar ini adalah 14 orang dan 132 yang lain cedera.
“Dua bom yang ditempatkan dalam kereta telah diletupkan, manakala satu lagi letupan berlakunya apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dataran utama Al-Zahraa,” lapor stesen televisyen tempatan.
Bagaimanapun, pemantau hak asasi manusia Syria melaporkan, mangsa yang terkorban dalam letupan tersebut adalah sekurang-kurangnya 32 orang.
Serangan tersebut berlaku kira-kira tiga minggu selepas kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab mengebom kawasan perumahan sama yang mengakibatkan 16 penduduk maut.
Kumpulan IS setakat ini telah menawan beberapa bahagian di wilayah Homs termasuk bandar bersejarah Palmyra.
Lebih daripada 250,000 orang telah terkorban dalam peperangan di Syria yang bermula pada tahun 2011 dengan tunjuk perasaan anti-kerajaan tetapi bertukar kepada konflik berdarah. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/32-maut-tiga-serangan-bom-serentak-di-homs-1.173879#sthash.En0RK7mU.dpuf