Sunday, 27 May 2012

syria

Ini laporan tentang 2 program yang dijalankan oleh Pusat Kajian Kemanusiaan di Washington iaitu program “Memantau Syria” dan program “Demi wanita-wanita Syria”

Satu-satunya hospital yang beroperasi di Homs sekarang ialah Hospital Bisan iaitu hospital kelolaan Persatuan Bulan Sabit Merah milik negara Palestin.

Pada hari Jumaat, 18 May 2012, 3 kes rogol dilaporkan telah dilakukan oleh pihak polis dan samseng-samseng ke atas wanita-wanita daerah Syammas ketika rumah mereka dipecah masuk. Setelah itu mereka telah pun dihantar ke hospital kerana kecederaan yang dialami.

Seramai 15 orang menjadi mangsa bunuh, sebahagian darinya ditemui dalam keadaan anggota-anggota yang dikerat sebelum dibunuh. Pihak tentera dan samseng telah menyerbu masuk rumah-rumah rakyat dan menangkap sekitar 300 orang awam secara rawak.

Sesuatu yang paling memeranjatkan ialah muazzin (tukang azan) masjid Syammas telah diseksa dengan lidah, telinga dan jari-jari tangannya telah dikerat sebelum beliau dibunuh.

Pada mulanya, isteri beliau terlebih dahulu telah ditangkap. Mereka berjanji akan melepaskan isterinya dengan syarat beliau menyerahkan diri kepada tentera.

Namun sebaliknya isterinya tetap dirogol walaupun syarat dipenuhi!

Pihak pemerhati awam telah bergegas ke Syammas. Namun masalah utama yang berlaku ialah pihak tentera menyekat mereka dari memasuki hospital untuk menemubual para mangsa yang cedera.

Temu bual ini sangat penting kerana mangsa-mangsa yang mendapat kecederaan adalah saki baki saksi hidup yang menyaksikan pembunuhan tersebut, lebih-lebih lagi dalam situasi mangsa-mangsa bunuh sudah pun dikebumikan.

Walaupun disekat, para pemerhati tetap meninjau-ninjau di kawasan Syammas. Namun rasa timbul kerana mereka dilihat hanya menyaksikan keindahan alam di SYammas dan melihat pusara-pusara mangsa bunuh. Mereka sempat merakamkan gambar-gambar dan setelah itu mereka pun beredar.

Kelakuan para pemerhati tersebut telah mengundang keraguan kepada banyak pihak. Ia menunjukkan adanya konspirasi antara pihak pemerhati dan regim.

Ini kerana para aktivis kemanusiaan dan penduduk setempat sudah memberitahu mereka lebih dari sekali bahawa mangsa yang cedera masih ada di hospital yang terletak hanya sekitar 200 meter dari daerah tersebut!


Semua mayat yang terbunuh juga masih tersimpan di hospital beserta rekod pengenalan dan telah diperiksa oleh para doctor.

Sepatutnya mana-mana pihak dibenarkan untuk mendapatkan laporan berkaitan situasi jenazah mangsa bunuh dari doktor Bulan Sabit Merah.

Tetapi pegawai tentera menetapkan bahawa hospital Bulan Sabit Merah adalah milik negara Palestin dan para aktivis kemanusiaan tidak berhak untuk memasukinya!

Malah dengan selambanya pihak pemerhati turut menyuruh para aktivis agar beredar demi keselamatan mereka. Namun apa yang lebih merbahaya ialah Kementerian Kesihatan Syria setelah itu telah mengeluarkan arahan menutup seluruh hospital dan klinik milik Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di seluruh Syria dalam tempoh 15 hari!

Dan lebih pelik lagi apabila pengarah Persatuan Bulan Sabit Merah di Damsyik turut menokok tambah arahan tersebut dengan mendakwa hospital terbabit tidak pernah mendapat sebarang lesen dan kebenaran untuk beroperasi!

Namun ironinya, hospital berkenaan sejak dahulu merupakan satu-satunya hospital yang beroperasi di negeri Homs sehingga sekarang. Ia bukan sekadar berkhidmat merawat kecederaan malah juga kepada pesakit-pesakit biasa termasuk menvaksin bayi dan kanak-kanak!

Dan yang amat memalukan, khidmat kesihatan yang sepatutnya dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Syria terhadap kanak-kanak mereka – yang telah pun dihentikan sejak 7 bulan yang lalu – kini diambil alih oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di Homs dengan kos yang mereka tanggung sendiri, tanpa sebarang bantuan dari kerajaan Syria!

Justeru, menghentikan khidmat rawatan kesihatan di seluruh Syria secara umumnya dan di Homs secara khususnya adalah satu bencana kemanusiaan yang sangat berat.
Perbincangan dan rayuan telah dibuat dengan pihak berwajib. Namun mereka dengan mudah menolak sambil beralasan, “Keputusan ini dibuat atas faktor politik!”

Pihak aktivis kemanusiaan cuba berhujjah bahawa Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin telah lama beroperasi di Syria dengan kebenaran yang dikeluarkan Mantan Presiden Syria iaitu Nuruddin Al-Atasi (presiden Syria dari tahun 1966 – 1970). Namun menteri berkenaan menjawab dengan selamba : “Kebenaran tersebut telah pun dibatalkan sekarang kerana faktor politik!”
...........................................
Oleh : Mohd Hamim Semaon

No comments:

Post a Comment