Tuesday 16 April 2013

Pemberontak serang stesen bas



Orang ramai terpaksa menyeberangi Sungai Euphrates menggunakan jambatan sementara selepas jambatan konkrit (atas) musnah akibat bedilan tentera kerajaan di Deir al-Zor, Syria, kelmarin. - Reuters
DAMSYIK 15 April - Sekurang-kurangnya empat terbunuh, manakala 20 lagi cedera dalam serangan mortar pemberontak ke atas sebuah stesen bas di Jaramana, pinggir ibu negara ini, semalam.
Agensi berita SANA melaporkan, serangan itu mengakibatkan kerosakan besar ke atas kereta-kereta dan bas yang diletakkan di bangunan tersebut.
Dalam kejadian berasingan, serangan tentera udara Syria di sebuah perkampungan etnik Kurdis di utara negara ini dan sebuah kawasan perumahan di ibu negara telah menyebabkan sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh, termasuk 12 orang kanak-kanak.
Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia melaporkan, sebanyak 16 orang termasuk tiga kanak-kanak dan dua wanita maut, selepas sebuah jet pejuang mengebom Kampung Haddad, timur laut wilayah Hassaka yang majoritinya dihuni etnik Kurdis.
Seorang aktivis di wilayah itu berkata, serangan tersebut mengakibatkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi bandar berkenaan.
''Satu lagi serangan udara di kawasan perumahan dekat bandar Qaboun, Damsyik mengakibatkan sekurang-kurangnya sembilan kanak-kanak terbunuh,'' kata pemerhati, semalam.
Dengan peluang tentera Presiden Bashar al-Assad untuk memenangi perang menerusi darat agak tipis, kini mereka lebih bergantung kepada helikopter dan jet pejuang bagi menumpaskan pemberontak.
Satu laporan Human Rights Watch pada minggu lalu menuduh kerajaan Syria melakukan jenayah perang dengan melancarkan serangan udara secara melulu dan terancang ke atas rakyatnya dengan sekurang-kurangnya 4,300 penduduk telah terkorban sejak musim panas lalu.
Sementara itu, pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia dalam perkembangan berasingan melaporkan, empat penduduk terbunuh selepas diseksa di dalam sebuah penjara di bandar Zakyeh.
Kemaraan pemberontak, sekali gus meletakkan kerajaan dalam keadaan bertahan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan perang selama dua tahun itu telah mengorbankan lebih 70,000 nyawa. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130416/lu_04/Pemberontak-serang-stesen-bas#ixzz2Qa1bkriN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment