BEIRUT - Sekurang-kurangnya 12 askar terbunuh dalam tempoh kurang 24 jam melibatkan pertempuran antara tentera Lebanon dengan sebuah kumpulan radikal Sunnah di bandar Sidon, selatan negara ini, kata seorang jurucakap tentera semalam.
Kematian itu berlaku semasa askar menggempur penyokong ulama Wahbi, Sheikh Ahmad Al-Assir yang memusuhi pergerakan Hizbollah dan turut bersengketa dengan tentera Lebanon.
Saksi-saksi memberitahu, mereka mendengar bunyi tembakan dan bedilan meriam di kejiranan Abra di pinggir timur Sidon semalam.
"Pertempuran itu amat sengit, kami mendengar bunyi bedilan artileri dan tembakan selang beberapa minit," kata seorang penduduk Abra kepada agensi berita AFP.
Seorang jurucakap tentera memberitahu, sekurang-kurangnya 12 askar terbunuh manakala sumber perubatan pula melaporkan 35 orang awam cedera dalam pertempuran tersebut.
Dalam pada itu, seorang saudara lelaki Sheikh Ahmad memberitahu AFP bahawa ulama itu dan penyokongnya berlindung di Masjid Bilal Bin Rabah di Abra.
"Ada pihak yang ingin menghapuskan kami tetapi kami masih lagi berjuang," kata lelaki tersebut, Amjad Al-Assir kepada AFP melalui telefon.
"Sheikh Ahmad akan tinggal di dalam masjid sehingga ke titisan darah yang terakhir," jelasnya.
Pertempuran itu bermula pada petang Ahad apabila penyokong ulama itu melepaskan tembakan ke arah seorang tentera yang bertugas di Abra.
Sheikh Ahmad dan penyokongnya berulang kali menuduh tentera Lubnan memihak kepada Hizbollah dan tidak mempedulikan campur tangan mereka di Syria. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2XB291g5t
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment