Friday, 21 June 2013

Moscow tetap bekal S-300


Moscow: Russia akan memenuhi kontrak kontroversinya untuk membekalkan sistem pertahanan peluru berpandu S-300 kepada Syria.

“Kami menghormati semua kontrak kami dan akan menunaikan tanggungjawab kontrak berkenaan,” kata Menteri Luar Sergey Lavrov dalam wawancara dengan stesen televisyen Rossiva 24.


Bagaimanapun, menurutnya kontrak berkenaan belum tamat dan sistem pertahanan itu belum dihantar sepenuhnya.

Russia bulan lalu mengaku bersetuju menjual sistem pertahanan canggih itu kepada Syria yang dianggap sebagai teknologi pemintasan pesawat tercanggih ketika ini.


Moscow menyokong Presiden Syria, Bashar Al-Assad dalam perang saudara di negara itu termasuk menyekat beberapa ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa dan gesaan pemimpin itu digulingkan. Sekurang-kurangnya 93,000 orang mati akibat konflik bersenjata sejak dua tahun lalu.


Lavrov juga berkata, negaranya akan menyekat semua tuntutan peletakan jawatan Bashar di persidangan damai di Geneva.

Beliau menyifatkan gesaan itu yang dikemukakan oleh negara Teluk sebagai ‘penghinaan kepada kami dan Amerika.’ Belum ada tarikh ditetapkan persidangan berkenaan. Lavrov meletakkan kegagalan menetapkan tarikh itu ke atas negara Barat yang bimbang tidak dapat memujuk penentang Bashar menghadirinya.


Menteri Luar itu juga mengulangi bantahan negaranya berhubung penguatkuasaan zon larangan terbang di Syria yang akan menyukarkan sistem S-300 beroperasi.

Mengenai rancangan Barat membekalkan senjata kepada kumpulan penentang, Lavrov berkata, ia akan memberi kesan buruk kerana kebanyakan senjata mungkin jatuh ke tangan Jabhat al-Nusrae, penentang paling berpengaruh di negara itu. - Reuters

No comments:

Post a Comment