Thursday, 5 December 2013

Assad setuju peralihan kuasa?


Beberapa anggota kumpulan penentang Syria membawa mayat seorang lelaki yang terbunuh dalam satu serangan udara di Aleppo, baru-baru ini. - AFP
DAMSYIK 4 Dis. - Presiden Syria, Bashar al-Assad akan kekal sebagai pemimpin negara ini dan mengetuai kerajaan peralihan dalam cadangan perjanjian damai yang bakal dibincangkan di Geneva, bulan depan.
Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zohbi berkata, Assad tidak akan menghadiri rundingan damai yang dikenali sebagai Geneva 2 itu jika beliau perlu menyerahkan kuasa pentadbirannya.
''Jika ada cadangan untuk mewujudkan satu tempoh peralihan, Assad akan mengetuai kerajaan sementara tersebut,'' katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita SANA.
Omran berkata, Arab Saudi yang memberikan sokongan kuat kepada kumpulan penentang, tidak boleh terlibat rundingan damai tersebut.
Kumpulan penentang kerajaan dalam perang saudara yang meragut sebanyak 126,000 nyawa sejak Mac 2011 menegaskan Assad perlu meletakkan jawatan sebagai sebahagian daripada proses peralihan itu.
Kedua-dua pihak dijangka mengadakan pertemuan di Geneva pada 22 Januari depan dalam rundingan yang dianjurkan utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Lakhdar Brahimi.
Bagaimanapun, pertikaian berhubung peranan Assad dalam kerajaan peralihan dan pertelagahan antara kumpulan pembangkang dan penentang menimbulkan keraguan sama ada kedua-dua pihak dapat mencapai persetujuan dan melaksanakannya.
Kumpulan penentang kerajaan, Perikatan Kebangsaan Syria (SNC), menuntut pembentukan 'badan pentadbiran peralihan' dengan 'kuasa penuh eksekutif' yang tidak melibatkan Assad dan sekutunya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131205/lu_04/Assad-setuju-peralihan-kuasa#ixzz2mYCeGrDX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment