Sunday 22 December 2013

Saudi musuh utama Syria


Damsyik: Syria kini menganggap Arab Saudi sebagai musuh nombor satunya.

Ia juga menuduh negara yang kaya dengan minyak itu membekalkan senjata kepada kumpulan penentang dan pemberontak yang berjuang untuk menggulingkan kerajaan Presiden Bashar al-Assad.


Arab Saudi secara jelas menyokong penentang Bashar sejak konflik Syria bermula pada Mac 2011 dengan mengetuai gesaan supaya presiden itu dijatuhkan.

Dalam wawancara dengan AFP semalam, Menteri Luar Syria Faisal Muqdad berkata Arab Saudi memberi sokongan penuh dan berterusan kepada ‘kumpulan pengganas’ walaupun negara lain sudah mengkaji semula pendirian masing-masing.


“Saya berpendapat kebanyakan negara yang selama ini menyokong ‘pengganas’ sudah menyedari kesilapan mereka,” kata Muqdad, merujuk kepada penentang yang mahu menjatuhkan Bashar.


“Satu-satunya negara yang menyokong penuh kumpulan ‘pengganas’ yang ada kaitan dengan al-Qaeda ialah Arab Saudi,” katanya.

Beliau menggesa dunia memberi tekanan kepada Riyadh supaya menghentikan sokongan itu sebagai cara menghalang apa yang disifatkannya sebagai satu lagi ‘peristiwa 11 September.’ “Saya percaya sekiranya dunia mahu mengelak satu lagi serangan 11 September, mereka perlu mula memberitahu Arab Saudi supaya menghentikan sokongan kepada ‘pengganas,’” katanya.




Awal bulan ini, buat pertama kali kerajaan Syria merayu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak terhadap Arab Saudi kerana sokongannya terhadap kumpulan penentang di negara itu.


Dalam kenyataannya kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kementerian luar Syria berkata: “Arab Saudi bukan setakat membekal senjata dan membiayai penentang Syria, tetapi turut menggerakkan pengganas dan menghantar mereka untuk membunuh rakyat Syria.”

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/22

No comments:

Post a Comment