Saturday, 14 December 2013

Syahadah selamat nyawa

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
Kota Bharu: “Hanya dengan mengucapkan dua kalimah syahadah dan memberitahu tujuan misi, kami terselamat daripada ditembak tentera Mujahidin.
“Biarpun ketika itu kami sudah terbayang detik kematian, namun selepas mengucapkan dua kalimah syahadah, kami berjaya menyatukan dua puak tentera yang sebelum ini tidak pernah berunding,” kata Ketua Sukarelawan Misi Bantuan Kecemasan Kemanusiaan Syria 2013 Ahmad Sani Abdul Halim Araby, 29.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Strategik dan Perhubungan Korporat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menceritakan pengalamannya yang ditahan tentera Mujahidin ketika menyertai rombongan misi bantuan kemanusiaan di Syria pada 27 Oktober lalu selama lima hari bagi memberi sumbangan kepada mangsa peperangan di negara berkenaan.
Menurutnya, dia bersama tujuh sukarelawan termasuk Ketua Unit Media MAPIM Johan Arif Ismail, 45, dan seorang pemandu arah yang juga penduduk Syria memasuki sempadan negara berkenaan melalui Turki menggunakan ‘lorong tikus’.
Katanya, rombongan sukarelawan itu diiringi Tentera Pembebasan Syria (FSA) menuju ke Aleppo, bandar terbesar di negara berkenaan sebelum ditahan tentera Mujahidin kira-kira jam 6.50 petang waktu tempatan.
“Ketika dalam perjalanan ke Aleppo, askar pengiring kami tidak sedar sudah memasuki kawasan yang dikawal tentera Mujahidin sebelum kami ditahan dan dibawa ke tiga markas berasingan selain tiga kali bertukar kenderaan.
“Kami tidak diikat ketika ditahan, sebaliknya dibawa ke markas utama bertemu ketua tentera Mujahidin.
Waktu itu sudah malam dan kami menaiki pacuan empat roda tanpa menyalakan lampu bagi mengelak dikesan peninjau tentera kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Difahamkan, tentera Mujahidin tidak berunding dengan pihak luar, malah tidak pernah bersatu dengan FSA meskipun menentang musuh sama.
Menurut Ahmad Sani, pemandu arah sudah menasihatkan rombongannya supaya tidak bercakap atau menjeling ketika perbualan antara ketua Mujahidin dan FSA kerana bimbang berlaku salah faham yang boleh mengakibatkan ditembak serta-merta.
Katanya, tentera Mujahidin pejuang tegas dan sukar mempercayai orang luar kerana bimbang kehadiran pengintip musuh, namun keadaan berubah apabila Ahmad Sani mencelah perbualan dua ketua tentera itu dengan menyebut kalimah syahadah.
“Waktu itu kami berada dalam sebuah bangunan yang langsung tidak mempunyai cahaya selain dikelilingi tentera lengkap bersenjata berat sambil mendengar perbualan dua ketua tentera itu.
“Walaupun sudah dinasihatkan tidak bercakap, saya memberanikan diri untuk menjelaskan kehadiran pasukan kami untuk membantu mangsa perang yang juga saudara seagama,” katanya.
Ahmad Sani berkata, selepas menjelaskan tujuan kehadiran pasukannya, ketua Mujahidin seperti sebak kerana terharu dengan rombongan sukarelawan itu yang sanggup membahayakan nyawa untuk memberi bantuan kepada mangsa perang.
Katanya, selepas tamat perbualan di markas itu, tentera Mujahidin berpeluk dan bersalaman dengan anggota sukarelawan termasuk anggota FSA yang berada di luar bangunan.
“Selepas kekeliruan dijelaskan, tentera Mujahidin dapat menerima kehadiran pasukan kami, malah mereka sudah dapat membuka rundingan dengan FSA.
Foto
JOHAN Ariff (kanan) dan Ahmad Sani bersama kanak-kanak di sebuah perkampungan di Aleppo, Syria.

Saya bersyukur kerana peristiwa itu membawa perpaduan kepada dua puak tentera yang sebelum ini tidak pernah bersatu.
“Selepas kejadian itu, tentera Mujahidin memberi kemudahan laluan dengan membenarkan pasukan kami masuk ke seluruh kawasan yang sebelum ini tidak pernah dimasuki sukarelawan lain seperti Aza’z dan Idleb.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

No comments:

Post a Comment