BAALBEK 31 Dis. - Tentera Lebanon bertindak menggunakan sistem pertahanan udara bagi mematahkan serangan helikopter tentera Syria yang melancarkan serbuan di dalam wilayah negara ini, semalam.
Menurut jurucakap tentera Lebanon, ini merupakan kali pertama tentera negara ini bertindak balas terhadap serangan tentera Syria di wilayah Lebanon, menggunakan helikopter untuk mengebom kawasan Khirbet Dawud berhampiran Arsal.
''Selaras dengan arahan daripada pusat pemerintahan tentera, senjata antipesawat dilancarkan ke arah helikopter Syria,'' kata sumber itu.
Pegawai kerajaan Lebanon melaporkan tiada kemalangan jiwa di pihak Lebanon dalam serangan tentera Syria itu.
Tidak dapat dipastikan sama ada serangan balas tentera Lebanon itu mengenai helikopter Syria tersebut atau tidak.
Menteri Pertahanan Lebanon, Fayez Ghosn mengesahkan serangan balas oleh tentera Lebanon itu dibuat atas arahan kerajaan.
Tentera Lebanon, katanya, menerima arahan yang jelas dan mencukupi daripada kerajaan untuk bertindak balas ke atas serangan seperti itu dan 'apa yang berlaku hari ini adalah mengikut konteks itu'.
''Kami bertindak balas ke atas serangan yang berlaku di wilayah Lebanon,'' kata Fayez, sambil menambah kata, sejak meletus perang saudara di Syria, tentera Lebanon telah dikerah di sepanjang sempadan dan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan yang mampu menjejaskan perpaduan di negara ini.
Serangan balas itu berlaku sehari selepas Presiden Lebanon, Michel Sleiman mengumumkan bahawa Arab Saudi bersetuju membekalkan senjata buatan Perancis bernilai AS$3 bilion untuk keperluan tentera Lebanon. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140101/lu_03/Lebanon-patahkan-serangan-Syria#ixzz2p6DPl9W1
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment