Wednesday, 29 January 2014

Rundingan damai Syria berdepan kebuntuan


Beberapa penduduk mengangkat mayat seorang penduduk yang terbunuh dalam pertempuran antara penentang kerajaan dan tentera Bassar al-Assad di penempatan Tariq al-Bab, Aleppo, kelmarin. - REUTERS
GENEVA 28 Jan. - Rundingan damai Syria dijangka diteruskan, di sini hari ini, walaupun berdepan kebuntuan setelah kedua-dua pihak terbabit tidak mencapai sebarang penyelesaian berhubung isu pearlihan kuasa pentadbiran Presiden, Bashar al-Assad.
Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi mengaku rundingan yang berakhir semalam tidak membuahkan sebarang hasil.
Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua pihak akan bertemu sekali lagi, hari ini dalam cubaan untuk membincangkan isu-isu politik.
''Esok (hari ini) kami akan mengeluarkan satu kenyataan Geneva. Kemudian kami akan memutuskan bagaimana untuk meneruskan rundingan melibatkan pelbagai elemen,'' katanya merujuk kepada satu perkara yang dipersetujui oleh kuasa dunia pada 2012 melibatkan pembentukan kerajaan peralihan di Syria.
Ketika ditanya tentang kelembapan usaha damai itu, beliau berkata, ia bergerak berdasarkan situasi dan kehendak pihak-pihak terbabit.
Sesi rundingan semalam hanya berakhir dengan cepat, selepas wakil kerajaan Syria menetapkan tidak mahu membincangkan tentang peralihan kuasa, dan perkara tersebut tidak diterima oleh wakil penentang kerajaan.
Anggota delegasi kerajaan Syria, Buthaina Shaaban berkata, kerajaan menawarkan prinsip politik yang dijangka tidak akan ditolak oleh rakyat Syria, termasuk melindungi kedaulatan negara, memelihara institusi negara dan menghentikan ancaman daripada kumpulan 'penentang'.
''Kami terkejut kenyataan asas tersebut ditolak oleh delegasi penentang kerajaan,'' katanya.
Wakil delegasi penentang kerajaan, Rima Fleihan pula berkata, perbincangan yang diadakan tidak berjalan secara membina kerana wakil kerajaan cuba menggunakan strategi bagi mengelak membincangkan isu utama dengan menyentuh isu keganasan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140129/lu_06/Rundingan-damai-Syria-berdepan-kebuntuan#ixzz2rjkeKJyZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment