Friday, 31 January 2014

Tentera Syria roboh kediaman penduduk


REUTERS
BEBERAPA orang meninjau sebuah bangunan kediaman yang musnah akibat 
serangan udara tentera Bashar di Aleppo, Syria semalam.


BEIRUT - Kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar Al-Assad didakwa menggunakan bahan letupan dan jentolak untuk merobohkan beribu-ribu kediaman.
Kumpulan Human Right Watch (HRW) semalam memberitahu, kempen itu dilakukan bagi menghukum orang awam yang simpati terhadap para penentang Bashar dan mencetuskan perasaan tidak selesa dalam kalangan penduduk tersebut.
Menurut laporan setebal 38 muka surat HRW, operasi tersebut berlaku di antara Julai 2012 dan Julai 2013 di tujuh wilayah propembangkang di sekitar Damsyik dan tengah bandar Hama, Syria.
Menurut HRW, operasi perobohan itu menyalahi undang-undang antarabangsa dan meminta dunia segera menghentikan perkara tersebut.
"Menghapuskan keseluruhan kawasan kediaman bukanlah satu taktik peperangan yang dibenarkan.
"Operasi yang tidak mengikut undang-undang itu merupakan tambahan kepada senarai panjang jenayah yang dilakukan oleh kerajaan Syria, kata seorang penyelidik bantuan HRW, Ole Solvang.
Kebanyakan bangunan yang dirobohkan itu merupakan blok apartmen dan beribu-ribu keluarga kehilangan tempat tinggal akibat tindakan tersebut.
Tambahnya, kerajaan dan media negara tersebut memberitahu, operasi itu merupakan sebahagian daripada projek perancang bandar dan sebagai usaha untuk menghapuskan bangunan yang dibina tanpa kebenaran.
Peperangan saudara yang melibatkan tentera Bashar dengan kumpulan penentang di Syria bermula sejak Mac 2011 dan telah menyebbakan lebih 100,000 orang terkorban.
Para penentang Bashar itu mahu beliau digulingkan selepas gagal untuk membawa pembaharuan demokrasi di negara tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2ryQ1skdZ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment