Damsyik: Penyanyi rap Jerman yang berjuang di Syria dan dilaporkan terbunuh dalam satu serangan udara baru-baru ini, dipercayai masih hidup.
Klip video terbaru menunjukkan Deso Dogg - kini dikenali sebagai Abu Talha - dimuat naik di laman sesawang Islam Jerman, Tauhid-Jerman.
Imej itu dipaparkan dua bulan selepas dia dilaporkan cedera dalam serangan udara tentera Syria di wilayah pemberontak di utara negara itu.
Abu Talha dijangka muncul dalam sesi wawancara bertajuk: Serangan Bacul, Jawapan Bernas: Satu Wawancara bersama Abu Talha al-Almani.
Abu Talha dilahirkan sebagai Denis Cuspert di Berlin pada 1975.
Pada akhir 2010, dia meninggalkan karier muzik dan memeluk Islam sebelum menjadi pendakwah dengan nama Abu Maleeq.
Pada akhir 2011, dia berkawan rapat dengan Mohamed Mahmoud atau Abu Usama al-Gharib, warga Austria berketurunan Mesir.
Abu Usama ialah pengasas Barisan Media Islam Sedunia (GIMF), platform propaganda jihad.
Pada 2008, mahkamah Austria menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atasnya atas kesalahan berkaitan keganasan.
Sejurus selepas dibebaskan pada September 2011, dia dilaporkan meninggalkan Austria untuk ke Berlin.
Dia dan Abu Talha kemudian muncul di North Rhine-Westphalia pada tahun itu dan menubuhkan persatuan Millatu Ibrahim.
Pada Jun 2012, pihak berkuasa Jerman mengharamkan pertubuhan itu berikutan beberapa pertempuran yang tercetus antara golongan Salafi dan polis di Bonn yang menyebabkan dua anggota polis cedera parah.
Abu Talha dilaporkan meninggalkan Jerman ketika larangan terhadap Millatu Ibrahim dikeluarkan.
Sejak ketiadaannya, media di Jerman menyuarakan kebimbangan jika dia mungkin pulang ke negara itu untuk melancarkan serangan di negara kelahirannya itu atau menyerang kepentingan Jerman di luar negara.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23
No comments:
Post a Comment