Kem Za’atari (Jordan): Sambil memegang beg plastik mengandungi barangan miliknya, kanak-kanak Syria berusia empat tahun, Marwan berjalan melintas sempadan untuk masuk ke Jordan.
Kanak-kanak itu ditemui kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sempadan berkenaan selepas dia terpisah dengan keluarganya.
Marwan adalah antara lebih sejuta kanak-kanak Syria yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka kerana peperangan.
Tidak dapat dipastikan berapa lama Marwan terpisah dengan keluarganya. Seorang wartawan semalam memetik kenyataan seorang pegawai agensi itu sebagai berkata, Marwan hanya kira-kira 20 tapak di belakang keluarganya apabila mereka terpisah ketika kekeliruan tercetus ketika hendak menyeberang sempadan berkenaan.
Gambar mengharukan itu dirakam oleh Andrew Harper, wakil agensi pelarian PBB di Jordan.
Jurucakap agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) Andrej Mahecic berkata: “Perjalanan merentas padang pasir memakan masa sehari atau beberapa minggu.
“Keadaan amat berbahaya kerana pertempuran yang berterusan dan pada musim sejuk ini, cuaca boleh mencapai tahap beku pada sebelah malam.” Marwan memasuki Jordan berhampiran kem Za’atari yang menempatkan lebih 100,000 pelarian Syria kelmarin.
Menurut UNHCR, terdapat ratusan ribu kanak-kanak menghadapi situasi sama dengan Marwan.
“Konflik bersenjata di Syria kini sudah berlanjutan hampir tiga tahun dan buat masa ini kami menangani lebih 2.4 juta pelarian. “Tetapi, statistik paling penting ialah lebih sejuta pelarian itu kanak-kanak. Kerana mereka tidak dapat bersekolah, kami menggelar mereka ‘generasi Syria yang hilang’.
“Marwan hanya satu daripada generasi itu. Ramai lagi yang sepertinya di luar sana,” kata Mahecic. - Agensi
No comments:
Post a Comment