Saturday, 15 February 2014

Dua minggu 400 terbunuh

Beirut: Serangan bom oleh tentera kerajaan mengakibatkan kematian kira-kira 400 orang di Aleppo, bandar kedua terbesar Syria sepanjang bulan ini.
Perkara itu didedahkan aktivis semalam ketika Amerika Syarikat (AS) dan Russia bertemu di Geneva dalam usaha menghidupkan semula rundingan damai yang sebelum ini terbantut.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria menganggarkan 51 orang terbunuh Rabu lalu akibat serangan bom tong yang dilepaskan dari helikopter iaitu sebahagian daripada kempen tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad untuk merampas semula kawasan yang dikuasai penentang sejak pertengahan 2012.

Menurutnya, ini bererti hampir 400 terbunuh sejak awal bulan ini, namun jumlah itu tidak dapat disahkan.
Foto
SEORANG kanak-kanak di luar bangunan yang runtuh di Aleppo, akibat diserang dengan bom tong oleh tentera rejim Bashar, semalam.

Sementara itu, gabenor Homs berkata, gencatan senjata di bandar itu - yang berakhir Rabu lalu - dilanjutkan tiga hari bermula kelmarin untuk membolehkan lebih ramai orang meninggalkan bahagian bandar berkenaan yang dikawal pemberontak.

Gabenor Talal Barrazi berkata, gencatan senjata akan diteruskan selagi ada orang yang mahu meninggalkan kawasan pemberontak di Homs.

Seorang pegawai di pejabatnya yang enggan namanya didedahkan berkata tiada pemindahan dilakukan di Homs sehingga Khamis namun pihaknya sedang berusaha memindahkan kira-kira 70 lelaki yang mungkin anggota pejuang.

Sesi pemindahan sebelum ini tidak termasuk lelaki berusia antara 15 dan 55 kerana dianggap berkemungkinan menjadi anggota pejuang, namun masih ramai juga yang terlepas.

Menurut pegawai berkenaan, proses pemindahan dijangka diteruskan semalam - yang kedua sejak gencatan senjata bermula minggu lalu.

Ratusan orang awam dipindahkan dari Homs sejak Jumaat lalu sebaik gencatan sejata diumumkan.

Ketua operasi Persatuan Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC) Khaled Erksoussi berkata, 1,500 orang dipindahkan sejak Jumaat minggu lalu.

Sebelum itu, SARC menganggarkan sehingga 3,000 orang menderita akibat terperangkap di daerah dikuasai pemberontak yang dikenakan sekatan kerajaan sejak lebih setahun.- AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

No comments:

Post a Comment