Thursday, 13 February 2014

Rundingan damai Syria gagal?

GENEVA 12 Feb. - Rundingan damai Syria yang sedang berlangsung di sini tidak menunjukkan sebarang kemajuan, semalam, sekali gus memberi amaran ia akan gagal ketika proses pemindahan orang awam dari kawasan yang ditawan pemberontak di bandar Homs ditangguhkan.
Kemajuan yang sedikit dalam rundingan damai itu agak jelas di sebalik rayuan Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi bagi menamatkan 'mimpi ngeri' rakyat Syria.
Pendamai veteran itu dilihat muram selepas sesi tiga jam mesyuarat, semalam yang menandakan rundingan bersemuka yang pertama antara kerajaan dan kumpulan penentang, bulan ini tidak mencapai banyak kemajuan.
"Permulaan (mesyuarat) minggu ini agak sukar, sama seperti mesyuarat pada minggu pertama. Kami tidak dapat mencapai banyak kemajuan,'' kata Brahimi kepada media.
Rundingan kali ini dijangka berakhir Jumaat ini. Bagaimanapun perbincangan itu yang bermula kelmarin dan sesi semalam tidak menunjukkan ia akan mencapai sebarang kemajuan, melainkan mengulangi kenyataan sebelum ini.
''Saya berpendapat Geneva berdasarkan keadaan semasa akan berakhir dengan kegagalan,'' kata Menteri Perdamaian Syria, Ali Haidar.
Jurucakap kumpulan penentang, Louay Safi pula berkata, mereka tidak akan 'melarikan diri' tetapi ketiadaan kemajuan. Adalah 'lebih jujur untuk menyatakan bahawa kami telah gagal'.
Sementara itu, operasi pemindahan kira-kira 3,000 orang awam yang terperangkap di bandar Homs dalam pertempuran, yang bermula sejak Jumaat lalu oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat ini berjaya memindahkan seramai 1,132 orang. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140213/lu_05/Rundingan-damai-Syria-gagal#ixzz2t9IbHAlF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment