Thursday, 20 March 2014

26 maut tentera bedil tiga bandar di Syria


SEORANG penduduk Syria, mendukung seorang kanak-kanak lelaki yang tidak sedarkan diri selepas dikeluarkan dari runtuhan bangunan dalam satu serangan dilancarkan tentera Syria di Aleppo, kelmarin. - AFP
DAMSYIK 19 Mac - Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh termasuk dua kanak-kanak dan 25 lagi cedera apabila tentera Syria mengebom bandar Aleppo, Homs dan Damsyik, semalam.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, helikopter tentera Syria menggugurkan tong-tong berisi bom di Aleppo ketika tentera kerajaan memerangi kumpulan Barisan Al-Nusra dan militan al-Qaeda.
Jelas pertubuhan itu, seramai 11 orang maut termasuk dua kanak-kanak lelaki dalam serangan tersebut.
Agensi berita tempatan, SANA melaporkan, lima orang terbunuh dalam serangan bom mortar yang dilancarkan oleh kumpulan penentang di Damsyik manakala lima lagi maut di bandar Jaramana, tenggara bandar yang sama.
Menurut laporan itu, lima lagi mangsa terbunuh dan 25 yang lain cedera dalam serangan mortar di Mahata dan Inshaat, wilayah Homs.
Sementara itu, tentera Israel menggempur kedudukan tentera Syria hari ini sebagai membalas serangan bom tepi jalan yang mengakibatkan empat askar rejim tersebut cedera di Bukit Golan, sehari sebelum itu.
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner berkata, pasukan tentera udara mengerahkan pesawat untuk melancarkan serangan tersebut ke atas sebuah ibu pejabat tentera Syria, sebuah pusat latihan dan pelancar artileri.
Jelasnya, serangan waktu malam itu mensasarkan kemudahan tentera Syria yang terdapat di Bukit Golan.
Bagaimanapun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam serangan terbabit. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140320/lu_04/26-maut-tentera-bedil-tiga-bandar-di-Syria#ixzz2wRo5AUkb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment