Tuesday, 11 March 2014

Terpaksa makan kucing, anjing

Beirut: Tentera Syria didakwa mengguna kelaparan sebagai ‘senjata perang’ ketika mengepung Yarmuk, kem pelarian Palestin di pinggir bandar Damsyik.
Dalam laporan yang dikeluarkan Amnesty International semalam, kumpulan hak asasi manusia itu berkata, hampir 200 orang mati di kem berkenaan sejak tentera Syria mengetatkan kepungan mereka pada Julai 2013, termasuk menyekat bantuan perubatan dan makanan. 
Dalam laporannya berjudul “Menyelamatkan nyawa di Yarmuk: Jenayah perang ke atas orang awam yang dikepung” Amnesty berkata 128 daripada kematian itu berpunca daripada kelaparan.

“Keadaan di Yarmuk semakin buruk dengan penduduk yang terkepung kelaparan dan terperangkap tanpa mampu melepaskan diri,” kata jurucakap Amnesty, Philip Luther
Foto
PENDUDUK dan anggota penyelamat melihat mayat yang bergelimpangan di pekarangan hospital daerah al-Sakhour di Aleppo. Beberapa penduduk terbunuh selepas tentera Syria menggugurkan bom tong di kawasan berkenaan.

Kumpulan itu menyifatkan kepungan di Yarmuk sebagai ‘kepungan bersenjata paling kejam yang dilakukan tentera Syria atau pejuang antirejim ke atas suku juta penduduk negara itu”.

“Keadaan keluarga yang terdesak sehingga terpaksa menjadikan kucing dan anjing sebagai makanan serta orang awam yang ditembak dengan penembak hendap ketika sedang makan adalah pemandangan biasa di Yarmuk,” katanya.

Tentera yang menyokong Presiden Bashar al-Assad mengepung kawasan itu selepas saban hari bertempur dengan pejuang antikerajaan di pinggir Damsyik itu.

Keganasan itu memaksa 10,000 dari 170,000 penduduk Yarmuk melarikan diri dari kawasan berkenaan.

Mengikut laporan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira 20,000 lagi masih terperangkap dan berdepan dengan kesukaran hidup serta kelaparan.

Sementara itu, Amnesty mendakwa tentera Syria dan sekutunya melancarkan serangan berulang kali termasuk pengeboman dari udara dan penggunaan senjata berat ke atas bangunan di dalam kawasan yang mereka kepung.

“Serangan yang dilancarkan ke atas kawasan orang ramai menyebabkan kematian dan kecederaan. Ia jelas jenayah perang”

“Serangan berulang kali yang dilancarkan di kawasan yang padat dengan penduduk hingga tidak membolehkan mereka menyelamatkan diri memberi gambaran kekejaman.

“Ia tindakan tidak berperi kemanusiaan dan serangan yang dilakukan atas arahan Bashar itu melanggar prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Philip.

Amnesty turut melaporkan 60 peratus daripada mereka yang masih terperangkap di Yarmuk menderita kekurangan zat makan.

“Tindakan tentera pro rejim menggunakan kebuluran sebagai senjata peperangan adalah jenayah perang,” kata Philip dalam satu kenyataan.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/11

No comments:

Post a Comment