Sunday 11 May 2014

Penduduk Homs mula pulang



PENDUDUK Syria kembali ke kawasan perumahan mereka di Hamidiyeh di bandar lama Homs, kelmarin. - AFP
HOMS, Syria 10 Mei - Kumpulan terakhir penentang kerajaan Syria mula meninggalkan bandar Old City di Homs, semalam di bawah perjanjian yang dilihat memberi kemenangan simbolik kepada kerajaan ketika penduduk bandar itu mula pulang ke kediaman masing-masing yang hanya tinggal runtuhan batu.
Pengunduran itu menyaksikan kumpulan penentang kerajaan tersebut hanya akan berada di satu daerah di pinggir bandar ini yang pernah menjadi ‘pusat revolusi’ bagi menentang Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Ketika tentera memasuki bandar ini bagi membersihkan kawasan itu daripada bahan letupan, beratus-ratus penduduk mula kembali bagi melihat keadaan rumah mereka di Hamidiyeh, sebuah daerah dihuni penduduk Kristian di Old Town yang menjadi sasaran serangan bom setiap hari dalam tempoh dua tahun.
Tinjauan wartawan AFP mendapati, kebanyakan penduduk sedih dan menangis ketika mereka memeriksa kerosakan rumah mereka.
Seorang penduduk dikenali sebagai Wafa berkata, rumahnya musnah teruk ekoran pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang.
“Saya telah melihat gambar rumah saya musnah menerusi laman Facebook, namun saya sukar mempercayainya. Saya mahu melihat dengan mata saya sendiri," kata seorang lagi penduduk di Hamidiyeh, Jaqueline Fawwaz, 30.
Konvoi terakhir kumpulan penentang mula keluar daripada Old City selepas proses pemindahan itu tertangguh semalam sehari ekoran tindakan satu lagi kumpulan penentang kerajaan dari utara Syria menyekat penghantaran bantuan makanan ke dua bandar prokerajaan di wilayah Aleppo.
Penghantaran bantuan itu merupakan sebahagian daripada pertukaran yang menyaksikan kira-kira 2,000 orang kebanyakannya penentang meninggalkan Old City dengan jaminan laluan yang selamat.
Gabenor Homs, Talal al-Barazi berkata, mereka telah selesai mengundurkan pasukan bersenjata dari bandar Old City, proses yang bermula sejak Rabu lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140511/lu_02/Penduduk-Homs-mula-pulang#ixzz31LznFUrU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment