Thursday, 15 May 2014

Penentang Bashar di Homs kini berehat


BEBERAPA orang penduduk membawa guni mengandungi barang-barang keperluan semasa mereka berjalan di bandar Homs, Syria kelmarin. - REUTERS


DAMSYIK – Para penentang rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad yang dipindahkan dari Homs selepas bandar itu dikepung selama dua tahun dan dibom hampir setiap hari kini dapat makan dengan cukup dan berehat dengan sepenuhnya.
Namun, ramai antara mereka yang dipindahkan dari bandar itu ingin pulang dan rindukan kampung halaman yang ditinggalkan.
“Pada bulan-bulan terakhir Homs dikepung, kami cuma makan daun-daun kayu.
“Namun, selepas mengharungi segala penderitaan, kami kini makan lapan kali sehari dan dapat tidur nyenyak untuk cuba memulihkan tenaga kami,” kata seorang aktivis yang juga anak jati Homs, Abul Joud.
Menurutnya, mereka gembira walaupun hanya menikmati makanan ringkas seperti bawang.
“Kami mengunyah bawang seperti buah epal dan memintanya lagi selepas itu,” katanya kepada agensi berita AFP menerusi internet selepas 2,000 orang dengan kebanyakan mereka anggota penentang dipindahkan dari bandar itu ke sebuah kawasan pedalaman di wilayah Homs.
“Kami semua menyangka akan mati tetapi kini kami berasa seperti hidup semula,” tambahnya ketika bercakap dari bandar Dar al-Kabireh yang dikuasai pihak penentang.
Namun, Abul Joud berkata, selepas dua tahun merasai pengalaman dikepung di bandar Homs, rakan-rakan kini berasa asing di tempat baharu mereka.
“Kami bersiar-siar di pasar dan terfikir bagaimana semua orang yang kami lihat dapat menjalani kehidupan dengan normal sedangkan kami di Homs telah dibom,” ujarnya.
Homs yang hampir keseluruhannya kini berada di bawah penguasaan tentera Bashar pernah digelar ibu kota revolusi suatu masa dahulu kerana berlakunya protes aman yang sering diadakan pada awal kebangkitan rakyat menentang Presiden itu yang didakwa korup dan tidak demokratik pada Mac 2011.
Kumpulan penentang itu kemudian mencapai satu perjanjian dengan tentera Bashar apabila bersetuju untuk tidak lagi bertempur baru-baru ini.
Bashar juga telah mengumumkan pilihan raya Presiden akan diadakan pada 3 Jun depan.
Peperangan saudara di Syria telah menyebabkan lebih 150,000 orang terbunuh. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz31jG2zg7N 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment