Friday, 27 June 2014

Militan Indonesia ke Syria


Gambar fail bertarikh 9 Jun 2013 menunjukkan anggota militan Indonesia yang mendakwa sanggup berperang di Syria, mempamerkan teknik pertahanan diri pada satu pertunjukan di Solo, Jawa Tengah. - AGENSI
JAKARTA 26 Jun - Kira-kira 56 warganegara Indonesia dipercayai terlibat dengan kegiatan militan di Syria, walaupun jumlah sebenarnya dijangka lebih tinggi, lapor Reuters hari ini.
Perkara itu didedahkan oleh jurukamera agensi berita tersebut yang bertemu empat rakyat negara ini yang lengkap bersenjata serta memakai kain penutup muka di negara bergolak tersebut, baru-baru ini.
Mereka yang bertutur dialek Indonesia bercampur bahasa Arab memperkenalkan diri sebagai seorang bekas anggota tentera, ahli perniagaan, pelajar kolej dan seorang remaja lelaki.
Malah, mereka turut menyeru rakyat Indonesia menyertai 'perjuangan' di bumi Syria.
"Saudaraku di Indonesia, jangan gentar kerana rasa takut hanyalah godaan syaitan," kata seorang daripada mereka menerusi satu video di YouTube yang telah pun dipadamkan.
Menurut firma keselamatan strategik, The Soufan Group, kebanyakan anggota militan asing di Syria terdiri daripada rakyat Arab Saudi, Tunisia, Maghribi dan Rusia.
Pegawai firma itu menyatakan, kira-kira 236 anggota militan dari Australia, Malaysia dan Indonesia menyumbang sembilan peratus kepada jumlah tersebut.
Institut Analisis Polisi dan Konflik (IPAC) di Jakarta pada Januari lalu menerusi satu laporan menyatakan, krisis di Syria telah menggalakkan anggota pelampau di negara ini menyertai 'perjuangan' di negara Asia Barat tersebut.
Beberapa perhimpunan pro-Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) turut berjaya menarik penyertaan ramai di Indonesia, di mana sokongan dan proses merekrut anggota militan asing dibenarkan.
Pihak berkuasa Indonesia kini bimbang, penyertaan rakyatnya dalam kegiatan militan di Syria boleh menyemarakkan kembali gerakan radikal di Indonesia yang berdepan tindakan kekerasan kerajaan sejak beberapa tahun lalu.
"Indonesia berdepan cabaran terbesar berhubung hal ini. Apabila anggota kumpulan itu pulang, mereka boleh membawa pengaruh negatif," kata seorang pegawai keselamatan yang enggan dikenali.- REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140627/lu_05/Militan-Indonesia-ke-Syria#ixzz35mz4V57X
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment