Thursday, 26 June 2014

Polis siasat dakwaan 15 rakyat Malaysia terkorban di Syria


KUALA LUMPUR 25 Jun - Polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Syria bagi mendapatkan kesahihan maklumat tentang 15 rakyat Malaysia yang didakwa terkorban setelah terlibat dengan kumpulan militan di negara bergolak itu.
Dakwaan oleh Wakil Tetap Syria di New York itu dipercayai kurang tepat kerana setakat ini pihak berkuasa Malaysia hanya boleh mengesahkan seorang pemuda iaitu Ahmad Tarmimi Maliki, 26, terbunuh di Al-Anbar, Iraq.
Sumber keselamatan memberitahu, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai rakyat Malaysia yang terkorban di negara bergolak tersebut.
Malah, hasil perkongsian maklumat dengan pihak kedutaan Syria juga tidak memperoleh sebarang maklumat seperti yang didakwa dalam laporan berkenaan.
"Bukan senang untuk mendapatkan identiti mereka yang terbunuh dalam negara bergolak terbabit apatah lagi mengatakan mereka rakyat Malaysia.
"Di sana sememangnya ada rakyat Malaysia yang menyertai peperangan itu, namun ada juga rakyat dari Indonesia, Filipina dan Thailand yang mempunyai wajah orang seperti rakyat kita. Mereka boleh mendakwa yang terbunuh itu dari negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ditanya mengapa dakwaan berkenaan itu timbul, sumber menjelaskan, kemungkinan itu terjadi ekoran aktiviti mengemaskini akaun sosial oleh sebuah kumpulan pemberontak yang mengaitkan kematian ahli kumpulan mereka dengan rakyat Malaysia.
"Kita difahamkan, lebih 20 rakyat Malaysia di sana yang menyertai Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) atau Jabhat Al Nusra dan sumber maklumat mengenai kematian itu adalah tidak sah," kata sumber.
Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang menyemak dakwaan kematian 15 individu di Syria itu.
"Kalau betul pun itu adalah rakyat Malaysia, yang mereka menyibuk ke sana (Syria) tu mengapa? Berjihad? Untuk siapa mereka nak berjihad?" katanya.
Terdahulu, dalam sidang akhbar di Kubang Pasu hari ini, Khalid memberitahu, polis turut mengesan kegiatan merekrut anggota baharu untuk menyertai kumpulan militan yang masih berlaku di negara ini walaupun di sebalik beberapa siri tangkapan ke atas anggotanya sejak kebelakangan ini.
Katanya, kegiatan merekrut itu lebih menyasarkan kepada golongan muda iaitu di kalangan berusia belasan tahun dan awal 20-an dengan cara melalui laman sosial seperti Facebook selain memperdaya golongan tersebut menggunakan pujuk rayu bagi meraih simpati.
"Memang masih berlaku (merekrut militan) dan kita menyedari perkara itu. Di negeri mana, tidak perlulah saya sebut tetapi kami akan menjalankan beberapa lagi tangkapan selepas ini sebelum memberitahu anda (wartawan).
"Hendak katakan amat serius itu tidaklah tetapi selagi rakyat kita terlibat, kami akan memandang berat perkara ini untuk menanganinya," katanya demikian selepas melancarkan Unit Risikan Sempadan dan Pangkalan Utara, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pergerakan anggota-anggota militan itu ke negara bergolak didapati tidak menggunakan penerbangan terus ke destinasi mereka sebaliknya ‘melompat’ dari satu negara ke satu negara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140626/je_04/Polis-siasat-dakwaan-15-rakyat-Malaysia-terkorban-di-Syria#ixzz35hD3uw00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment