BEIRUT - Kumpulan penentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad menyeberangi sempadan dan menyerang sebuah bandar di Lebanon sebelum membunuh dan menculik beberapa anggota keselamatan negara itu.
Serangan rentas sempadan tersebut merupakan yang paling serius sejak konflik perang saudara tercetus di Syria sejak tiga tahun lalu.
Tentera Lebanon berkata, kumpulan penentang yang turut dianggotai para pejuang asing mahu membuat pertukaran askar dan anggota polis yang ditahan dengan tahanan paling bahaya dalam penjara di negara itu.
Kumpulan pemberontak itu dilihat berkeliaran di jalan raya di bandar Arsal ketika beberapa helikopter penggempur tentera Lebanon berlegar-legar di ruang udara bandar berkenaan yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Beirut.
Seorang jeneral tentera Lebanon berkata, kumpulan bersenjata tersebut menyerang kedudukan tentera berhampiran Arsal menyebabkan pihaknya terpaksa melepaskan tembakan.
Seorang lagi pegawai tentera memberitahu, kumpulan bersenjata itu turut menawan sebuah balai polis utama di bandar berkenaan.
Sebuah agensi berita melaporkan, penduduk Arsal membantu membebaskan pegawai-pegawai polis yang diikat di balai polis selepas kumpulan bersenjata itu melarikan diri dengan sejumlah senjata dan beberapa orang tawanan. - AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz39NWOPogA
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment