Friday, 22 August 2014

Malaysia kenal pasti dakwaan tiga rakyatnya terbabit aktiviti militan di Syria

JUMAAT, 22 OGOS 2014 @ 9:04 AM

 
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mengenal pasti dakwaan terhadap tiga rakyatnya, yang disyaki terbabit dalam aktiviti militan di Syria.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya sedang mengesahkan maklumat berkenaan dengan pihak berkuasa Syria.

"Seperti yang dilaporkan di dalam media, di mana seorang daripadanya didakwa terbunuh dan dua orang lagi tercedera, menurut kenyataan itu.

Media hari ini melaporkan tiga rakyat Malaysia yang didakwa berjuang di Syria, dibedil oleh kereta kebal tentera Bashar al-Assad, mengakibatkan seorang daripadanya terkorban manakala dua lagi cedera, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian terbaru di wilayah Hama, mangsa yang terbunuh semalam dikenali sebagai Mat Soh atau nama panggilannya, Abu Turab manakala rakannya yang tercedera ialah Mohd Rafi Udin, 48, dan Zainuri Kamarudin, 47.

Wisma Putra menegaskan bahawa Malaysia tidak menyokong mahupun membenarkan sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme oleh mana-mana pihak termasuk rakyatnya sendiri.

"Rakyat Malaysia sentiasa dinasihati supaya mengamalkan sikap berjaga-jaga dan tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk keganasan dan unsur ekstremisme," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment