Wednesday, 27 August 2014

Wartawan AS kembali selepas diculik di Syria

RABU, 27 OGOS 2014 @ 1:14 PM
Peter Theo Curtis bersama ibunya, Nancy, selepas pembebasannya di Boston semalam.- Foto AP
 
WASHINGTON: Wartawan yang ditahan selama hampir dua tahun oleh militan berkaitan Al-Qaeda di Syria kembali ke Amerik Syarikat semalam, dua hari selepas Qatar merundingi pembebasannya.

Peter Theo Curtis, 45, ditemukan semula dengan ibunya Nancy Curtis di Lapangan Terbang Antarabangsa Boston Logan, selepas terbang dari Tel Aviv ke Newark, New Jersey.

"Saya begitu terharu dan sedih bila ditemui ramai orang - mereka yang tidak dikenali di dalam pesawat, atendan penerbangan dan paling istimewa anggota keluarga saya sendiri, yang mengucapkan selamat kembali," kata Curtis.

Tambahnya, beliau juga terhutang budi dengan pegawai Amerika Syarikat yang berusaha untuk kesnya dan ingin menyatakan penghargaan kepada kerajaan Qatar kerana masuk campur bagi pihaknya.

Keluarga Curtis berkata kerajaan Qatar berkali-kali menegaskan bahawa pembebasan itu tidak diperoleh dengan bayaran wang tunai, berikutan perbahasan mengenai dasar Amerika yang enggan membayar wang tebusan kepada pengganas.

Washington berpegang teguh pada pendirian tidak membayar wang tebusan atas alasan tindakan itu akan hanya membahayakan rakyatnya di seluruh dunia.

Wartawan bebas dan penulis itu dibebaskan Ahad lalu, kurang seminggu selepas video ngeri menunjukkan pembunuhan seorang tebusan AS, wartawan James Foley oleh satu lagi pergerakan berlainan.

"Saya lega anak saya kini sedang berdiri bersebelahan saya. Namun ia adalah sesuatu yang menyedihkan kerana apa yang berlaku minggu lalu. Saya turut bersimpati dengan keluarga lain yang turut ditimpa kesedihan ini.

"Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada orang awam dan semua pihak di seluruh dunia yang membantu membawa pulang Theo," kata Nancy Curtis."

Curtis ditawan sejurus sebelum masuk ke Syria pada Oktober 2012 dan ditahan oleh kumpulan serpihan Al-Qaeda yang dikenali sebagai Barisan Al-Nusra, menurut keluarganya. - AFP

No comments:

Post a Comment