HOMS, Syria – Seramai 41 kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan bom di sebuah sekolah milik kerajaan di bandar ini kelmarin.
Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria berkata, semua kanak-kanak berusia bawah 12 tahun itu merupakan antara 48 mangsa yang maut dalam serangan bom di kawasan kejiranan Akrameh di sini.
“Sekurang-kurangnya 41 kanak-kanak maut selepas dua butir bom meletup di Sekolah al-Makhzumi dan jumlah itu mungkin meningkat kerana ramai lagi masih hilang.
“Tujuh lelaki dewasa yang terdiri daripada empat orang awam dan tiga askar antara mangsa yang terkorban,” kata pegarah kumpulan berkenaan, Rami Abdel Rahman.
Menurutnya, serangan tersebut dilancarkan oleh seorang lelaki yang meletupkan sebutir bom di satu bahagian sekolah berkenaan sebelum meletupkan dirinya di bahagian lain.
Satu laman Facebook prokerajaan memaparkan beberapa gambar selepas serangan tersebut yang menunjukkan mayat beberapa kanak-kanak dan beg-beg sekolah bertaburan di lokasi kejadian.
Beberapa penduduk juga dilihat membantu mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan.
Seramai 191,000 penduduk di Syria dilaporkan terbunuh dalam perang saudara di negara itu yang tercetus selepas rakyat bangun menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3F1qbilHX
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment