Monday, 6 October 2014

IS tingkat serangan di bandar sempadan Syria


AFP - PENUNJUK perasaan Kurdis berhimpun di sempadan Turki dekat Kobane kelmarin kerana membantah serangan IS ke atas bandar berkenaan.


MURSITPINAR, Turki – Asap naik ke udara dari Kobane di sempadan Syria ketika pejuang Kurdis yang dibantu serangan udara pakatan Amerika Syarikat (AS), bertempur untuk mempertahankan bandar itu daripada jatuh ke tangan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Militan IS menawan sebuah bukit berhampiran bandar itu kelmarin, kata seorang pemerhati tetapi kemaraan mereka dikekang serangan udara baharu yang dilancarkan oleh AS dan beberapa negara Arab.
Bandar di sempadan Turki itu menjadi medan pertempuran penting dalam perang masyarakat antarabangsa terhadap IS. Terdahulu, kemarahan komuniti antarabangsa terhadap IS meningkat selepas kumpulan militan itu menyiarkan klip video yang memaparkan mereka memenggal kepala seorang warga Britain, Alan Henning.
Pertempuran sengit tercetus di sekitar Kobane kelmarin selepas IS meningkatkan kepungan selama 17 hari ke atas bandar itu, kata Kumpulan Pemerhati Untuk Hak Asasi Syria.
“IS berjaya menawan selatan Bukit Mishtenur malam kelmarin,” kata pengarah kumpulan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman.
“Jika IS dapat menguasai puncak bukit, seluruh bandar Kobane berada dalam jarak penglihatan mereka dan lebih mudah untuk ditawan,” tambahnya.
Menurutnya, tujuh serangan udara baharu ke atas kedudukan IS dilancarkan lewat kelmarin sekali gus melambatkan kemaraan militan kumpulan itu.
Dalam pada itu, pertempuran di sekitar Kobane berlanjutan semalam dengan pejuang Kurdis melepaskan bedilan meriam ke atas kedudukan militan IS.
Kumpulan pemerhati tersebut berkata, sekurang-kurang­nya 33 militan IS dan 23 pejuang Kurdis terbunuh dalam pertempuran kelmarin.
IS mara ke Kobane pada 16 September lalu untu melengkapkan penguasaannya ke atas kawasan di sempadan Syria-Turki.
Serangan IS menyebabkan­ sebahagian penduduk di ban­dar itu dan kawasan sekitarnya melarikan diri dengan 186,000 orang mencari perlindungan di Turki.
Susulan kepungan tersebut, ramai pemimpin rantau Arab meminta pakatan AS meningkatkan serangan udara di sekitar Kobane.
“Jika AS dan sekutunya tidak melancarkan serangan udara kelmarin, Kobane kini jatuh ke tangan IS,” kata seorang aktivis tempatan, Mustapha Abdi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1006&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3FJLHITO6 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment