|
DAMSYIK – Pengeboman oleh tentera udara Syria sejak 10 hari lalu telah meragut sekurang-kurangnya 221 nyawa orang awam dengan satu pertiga merupakan kanak-kanak, kata sebuah kumpulan pemerhati kelmarin.
Serangan bertubi-tubi oleh tentera Presiden Bashar Al-Assad itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan musuhnya bahawa beliau mengambil kesempatan susulan serangan udara pakatan Amerika Syarikat (AS) terhadap kumpulan militan Negara Islam (IS) untuk menawan semula wilayah lain di negara itu.
Sejak 20 Okober lalu, tentera Syria melancarkan lebih 769 serangan termasuk bom barel di serata Syria, menurut Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain.
Kumpulan pemerhati itu menyatakan, lebih 500 orang cedera sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, serangan itu menyasarkan wilayah Deir al-Zor di timur Syria, Homs di tengah negara itu dan beberapa wilayah lain di barat seperti Latakia, Aleppo, Idlib dan Deraa serta sekitar bandar raya ini.
“Kami mengulangi kecaman terhadap sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa berhubung pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan pada setiap hari terhadap rakyat Syria oleh rejim Bashar,” kata kumpulan pemerhati tersebut dalam satu kenyataan.
Angkatan bersenjata Syria meningkatkan serangan dengan mendadak sejak pakatan AS yang disertai Barat dan beberapa negara Arab mula mengebom kedudukan IS di Syria pada bulan lalu. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Hll0dzzJ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment