Tuesday 25 November 2014

Status penggunaan senjata kimia di Syria, Israel


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: "Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan tahniah kepada Mohd Nasrudin Mohd Yusof, rakyat Malaysia pertama yang telah menerima anugerah Nobel Keamanan 2013 atas pencapaian perkhidmatannya dalam memastikan negara anggota mematuhi Konvensyen Senjata Kimia," kata Nasrudin Hassan.
Ahli Parlimen Temerloh itu menyatakan demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau merujuk kepada Butiran 110100 - Pihak Berkuasa Kebangsaan Kepada Konvensyen Senjata Kimia.
"Berhubung dengan butiran ini, kita dimaklumkan bahawa penggunaan senjata kimia di Syria didakwa didalangi oleh regim pemerintahan yang kejam sehinggakan pihak PBB dan Pertubuhan Bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) menjalankan misi memusnahkan senjata kimia tersebut," ujarnya.
Menurutnya, pemusnahan senjata kimia memerlukan kepakaran teknikaliti yang cukup tinggi kerana tidak semua negara mahupun syarikat swasta berupaya untuk memusnahkan senjata kimia tersebut.
Justeru, berdasarkan kepada peruntukan Bajet 2015 di bawah butiran itu, beliau bertanya bolehkah mendapatkan penjelasan mengenai status penggunaan senjata kimia di seluruh dunia sama ada di Syria, Amerika Syarikat dan sekutunya Israel memandangkan perwakilan negara kita telah didedahkan dengan pelbagai latihan serta pemeriksaan di peringkat antarabangsa.
Beliau juga ingin mendengar penjelasan daripada kerajaan sekiranya Malaysia terlibat dalam aktiviti eksport import bahan kimia dwifungsi yang disenaraikan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.
"Jika ada, siapakah rakan niaga tersebut, syarikat yang mengendalikan serta jumlah dagangannya," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 25/11/2014

No comments:

Post a Comment