Friday, 7 November 2014

Turki tuduh kerajaan Syria lakukan pembunuhan beramai-ramai di Aleppo


TENTERA FSA bersiap sedia dengan senjata buatan sendiri bagi menangkis serangan tentera yang setia kepada Bashar di Aleppo, Syria kelmarin.


ISTANBUL – Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu menuduh tentera Syria melakukan pembunuhan beramai-ramai di Aleppo dan kawasan sekitarnya dan menyatakan, Turki bakal berdepan krisis pelarian besar-besaran jika bandar kedua terbesar di Syria itu jatuh ke tangan mereka.
Ketika jet perang Amerika Syarikat (AS) mengebom kedudukan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria, tentera Presiden Bashar Al-Assad meningkatkan kempen memerangi kumpulan penentang Syria di barat dan utara termasuk di Aleppo dan kawasan sekitarnya.
Ankara sebelum ini mendesak pakatan yang diketuai AS supaya meluaskan kempen dengan memerangi Bashar dan IS dengan alasan Syria tidak akan aman selagi Bashar berkuasa.
“Kami bimbang dengan perkembangan di Aleppo. Walaupun bandar itu belum tewas, tetapi berada dalam tekanan yang amat berat,” kata Davutoglu lewat Selasa lalu selepas menemui beberapa jeneral kanan Turki.
Aleppo kini terbahagi kepada dua dengan tentera Bashar menguasai barat bandar itu dan kumpulan pemisah menduduki bahagian timurnya. Tentera Bashar kini semakin mengepung kedudukan kumpulan pemisah dan cuba menyekat laluan bekalan.
Menurut Davutoglu, tentera Bashar melakukan pembunuhan beramai-ramai menggunakan bom barel di timur laut dan barat Aleppo yang dikuasai kumpulan pemisah Tentera Pembebasan Syria (FSA).
“Sekiranya Aleppo jatuh, kami di Turki akan berdepan krisis pelarian besar-besaran dan serius,” katanya.
Turki sehingga kini menerima 1.5 juta pelarian berikutan perang saudara di Syria dan mendesak AS serta sekutunya mewujudkan kawasan selatan untuk pelarian di wilayah Syria. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3IKnaHg7j 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment