seorang penduduk memerhati bangunan dan kenderaan yang rosak teruk selepas tentera Syria melancarkan serangan di Duma, Damsyik, semalam. – REUTERS
AMMAN 26 Dis. – Sekurang-kurangnya 45 orang awam terbunuh, manakala 175 orang lagi cedera apabila pesawat pejuang tentera Syria mengebom bandar di utara Syria yang dikuasai kumpulan militan Negara Islam (IS) ketika tentera kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad meningkatkan serangan udara ke atas sasaran IS.
Helikopter dan pesawat pejuang Syria dilaporkan menggugurkan bom tong ke atas kawasan perumahan dan industri di bandar al-Bab dan bandar Qabaseen, sejak semalam.
Seorang penduduk Qabaseen, Yousef al-Saadi mempertikaikan tujuan Assad menyerang kawasan tersebut.
“Tiada orang bersenjata di kawasan ini. Yang ada hanyalah orang miskin,’’ katanya.
Media rasmi Syria tidak melaporkan serangan udara ke atas al-Bab itu, yang menjadi sasaran tentera Syria sejak permulaan kempen tentera udara Amerika Syarikat (AS) ke atas IS pada September lalu.
“Serangan udara tentera Syria ke atas kawasan yang dikuasai pemberontak dan kumpulan militan semakin meningkat sejak tiga hari lalu,’’ katanya.
Badan hak asasi itu berkata, sekurang-kurangnya 110 penduduk awam terbunuh dalam lebih 470 serangan udara yang dilancarkan di kawasan pemberontak, termasuk di Damsyik dalam tempoh 72 jam lalu.
Sementara itu, tentera Jordan dan AS, hari ini menafikan dakwaan IS bahawa mereka berjaya menembak jatuh sebuah pesawat pejuang Jordan di Syria dan menahan juruterbangnya.
Seorang pegawai tentera Jordan berkata, petunjuk pertama menunjukkan pesawat tentera Jordan yang terhempas di Raqa, Syria bukan disebabkan serangan kumpulan militan itu.
IS kelmarin mendakwa menembak jatuh pesawat F-16 milik Jordan di utara Syria dan juruterbangnya, Leftenan Maaz al-Kassasbeh ditangkap oleh IS.
Pesawat itu merupakan yang pertama terhempas sejak tentera bersekutu diketuai AS melancarkan serangan udara ke atas sasaran IS di Syria pada September lalu.
Jordan merupakan antara negara yang menyertai AS melancarkan serangan udara ke atas IS. – AFP/Reuters
No comments:
Post a Comment