Lebanon terpaksa memperkenalkan penggunaan visa terhadap penduduk Syria berikutan kebanjiran rakyat negara itu di sempadan negaranya. – AFP
BEIRUT 5 Jan. – Lebanon hari ini mula menguatkuasakan penggunaan visa terhadap rakyat Syria selepas negara ini dibanjiri pelarian dari negara itu.
Sumber di agensi keselamatan awam Lebanon menyatakan, penduduk Syria yang mahu memasuki sempadan negara ini, perlu menunjukkan visa berkenaan.
Penggunaan visa itu diperkenalkan buat pertama kali dalam sejarah di antara dua negara tersebut selepas lebih 1.1 juta pelarian Syria melarikan diri ke negara ini berikutan krisis perang saudara yang tercetus sejak tahun 2011.
Kebanjiran rakyat Syria di Lebanon menguji kesabaran penduduk tempatan berikutan masalah kekurangan sumber makanan serta keadaan keselamatan yang semakin merosot di Arsal, bandar di sempadan Syria yang menempatkan ribuan pelarian.
Beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan Lebanon menyuarakan kebimbangan tidak lagi mampu menampung kemasukan pelarian dari Syria kepada masyarakat antarabangsa.
Oktober lalu, Menteri Hal Ehwal Sosial, Rashid Derbas berkata, pihaknya tidak dapat menerima lagi kemasukan pelarian Syria kecuali atas sebab kemanusiaan.
Jelas beliau ketika itu, pengenalan visa perlu dibuat bagi berdepan kebanjiran pelarian. – AFP
No comments:
Post a Comment